Tun M imbas sejarah pembentukan Malaysia

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat mengenai sejarah pembentukan Malaysia sempena sambutan ke-57 kewujudan negara ini.

Mengimbas detik bersejarah itu, katanya, perasaan beliau bercampur-baur ketika pemasyhuran Malaysia oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka pada pagi 16 September 1963.

Iklan
Iklan

"Bangga, kerana Persekutuan Tanah Melayu akan bersama Borneo Utara yang kemudian dikenali sebagai Sabah, Sarawak dan Singapura akan bergabung untuk membentuk negara besar Malaysia.

"Saya juga berdebar-debar kerana pembentukan itu mendapat tentangan yang agak hebat dari beberapa negara jiran," katanya dalam kenyataan hari ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Iklan

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, banyak yang dilalui selepas 57 tahun pembentukan Malaysia.

"Banyak yang kita lalui bersama. Sudah jauh kita melangkah. Singapura telah keluar tetapi keutuhan hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak bertambah kukuh dan terus disemai," katanya.

Iklan

Tambah Dr Mahathir, sebagai negara berbilang kaum, tidak dapat dinafikan ada kalanya timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

"Memang benar, di dalam sebuah keluarga besar, ada kala timbul rasa tidak puas hati di kalangan kita dan ia perlu dinilai dan dicari satu titik pertemuan supaya hubungan kita tidak terlerai.

"Kerana itu, kita menyokong permintaan supaya Perjanjian Malaysia (MA63) didokong sepenuhnya dan kita terima Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah tiga wilayah yang bergabung sebagai rakan kongsi setara.

"Apabila ini tercapai, sudah pasti kita boleh maju ke depan dengan langkah yang lebih gigih dan jitu,” katanya.