Anak asnaf terima manfaat SSPN

Iklan
Mohd Muazzam (kiri) menyampaikan zakat perniagaan sebanyak RM40,000 kepada Ahmad Dasuki pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan BIMB kepada PTPTN di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM40,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) semalam.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sumbangan itu akan memberi manfaat kepada seramai 400 anak golongan asnaf sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berupa simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang dikendalikan oleh PTPTN berjumlah RM100 setiap seorang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PTPTN telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mengenal pasti penerima sumbangan yang berkelayakan.

"Inisiatif yang dilaksanakan Bank Islam wajar dijadikan contoh dan menjadi ikutan institusi kewangan serta agensi korporat yang lain dengan memberikan sumbangan zakat atau sumbangan lain dalam bentuk akaun SSPN,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan BIMB kepada PTPTN di Kuala Lumpur semalam.

Iklan

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Pengurus Baitulmal MAIWP, Talmizi Yahya.

Ahmad Dasuki berkata, PTPTN turut berharap anak-anak asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan mendapat manfaat daripada penabungan SSPN-i dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

Iklan

Menurutnya, pelbagai manfaat akan diperoleh melalui penabungan dan salah satunya ialah Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi sebuah keluarga yang layak diberikan jika mereka membuat simpanan dalam SSPN-i.

"Ibu bapa berpendapatan bawah RM4,000 yang menyimpan dalam SSPN-i dan anak yang diterima mendaftar di institusi pengajian tinggi, kerajaan akan memberikan secara percuma jumlah yang sepadan dengan simpanan mengikut tempoh simpanan yang dibuat mereka,” katanya.

Mengulas mengenai penabungan SSPN, Ahmad Dasuki berkata, sehingga 31 Julai 2020, sebanyak 4.61 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM6.66 bilion.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan jumlah deposit SSPN sebanyak RM1.5 bilion menjelang akhir tahun ini dan sehingga 31 Julai 2020 jumlah deposit SSPN yang diterima adalah sebanyak RM779.1 juta.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata, bagi tahun kewangan 2019, Bank Islam telah berjaya mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM843.5 juta.

Menurutnya, jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 4.1 peratus dari tahun sebelumnya.

"Dengan pencapaian ini, kami merekodkan keseluruhan zakat perniagaan bagi tahun 2019 berjumlah RM10.8 juta,” kata beliau.