X

Kindly register in order to view this article
!

Wan Azizah Wan Ismail
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon mengganti suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR di kerusi Dun Kajang dijangka akan meningkatkan bilangan undi bagi PR. Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) itu akan memberikan undi simpati terhadap Wan Azizah ekoran kes yang melibatkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR. Menurutnya, Wan Azizah juga mampu menyaingi kredibiliti Anwar untuk menang besar di kawasan tersebut seperti persepsi masyarakat umum yang dikeluarkan terhadap Ketua Pembangkang itu. "Saya percaya kredibiti Wan Azizah adalah sama dengan Anwar dan berkemungkinan jumlah undi akan lebih meningkat daripada jangkaan pengundi untuk Anwar. "Ini kerana ada undi simpati terhadap Wan Azizah," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Semalam, media melaporkan Wan Azizah diumumkan sebagai pengganti suaminya  Anwar  untuk bertanding pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini. Pengumuman tersebut dilakukan sendiri oleh Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu dalam satu sidang media khas di Batu 12, Kajang, pada Ahad. Wan Azizah dipilih sebagai calon ganti ekoran Anwar hilang kelayakan untuk bertanding selepas disabitkan kesalahan meliwat  bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan serta dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. Sebelum ini, pada Januari lalu, bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh telah meletak jawatan sekaligus PR telah memilih Anwar sebagai calon PRK Dun Kajang. Dalam pada itu, Shamsul juga berkata, pemilihan Wan Azizah sebagai calon dapat menyambung legasi Ketua Pembangkang itu di  Selangor. "Kita boleh katakan ini sebahagian daripada politik Anwar di mana dia sudah tidak boleh bertanding di Kajang. "Dengan menggantikan Wan Azizah iaitu calon yang berkaitan dengan dirinya (Anwar), isu di Kajang akan tetap membawa kehangatan tentang Anwar. "Jadi ia mampu membawa Anwar kembali ke dalam Kabinet Selangor walaupun dikenakan penjara," katanya.  


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus