X

Kindly register in order to view this article
!

Umno Kedah bongkar lebih banyak kelemahan kerajaan negeri

A
A

KUALA LUMPUR - Umno Kedah akan membongkar lebih banyak kelemahan kerajaan negeri itu yang diterajui pakatan pembangkang bagi menyedarkan rakyat bahawa parti pembangkang gagal dalam melaksanakan tugas dan membuktikan hanya Barisan Nasional (BN) yang terbaik untuk mereka. Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, berkata kerajaan negeri itu yang ditunjangi Pas tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat. Apa yang mereka buat hanyalah aktif memacak bendera dan berceramah mencaci dan mengajak rakyat membenci Umno dan BN, selain menyerang kepimpinan negara dan kerajaan sehingga mereka terlupa merekalah sepatutnya mengambil tugas membangunkan negeri, katanya. " Ketika Kedah di bawah BN, apa yang dibuat semuanya tidak betul di mata mereka, tetapi apabila mereka membentuk kerajaan, mereka meneruskan usaha-usaha yang dibuat. Bagaimanapun kerana gaya pengurusan Pas dan pakatan pembangkang yang lemah, mereka berhadapan dengan bermacam-macam masalah," katanya semasa membahaskan usul ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, hari ini. Katanya selepas lebih empat tahun pakatan pembangkang berkuasa di Kedah, pelbagai persoalan timbul, antaranya tindakan kerajaan Kedah yang rakus menebang ribuan hektar hutan balak kononnya untuk menjadikannya ladang rakyat dan dusun tanpa mengambil kira kesan alam sekitar serta bekalan air domestik dan bekalan air untuk petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada). Othman turut membangkit isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin), milik kerajaan  negeri, yang kini menghadapi masalah aliran tunai kerana membiayai gaji staf yang tinggi dan penurunan mendadak bilangan pelajar disebabkan kenaikan yuran yang tinggi. Katanya kerajaan negeri juga gagal dan rugi berjuta ringgit kerana dengan membabi buta melabur di Papua New Guinea dalam projek balak, dan selain itu campur tangan politik dalam perkhidmatan tadbir negeri Kedah (KCS) telah menjadikan pentadbiran negeri kucar kacir dan tidak lancar. "Bukankah cerita rebutan kuasa menjadi menteri besar Kedah dalam kalangan kepimpinan PAS Kedah menjadi topik lebih penting daripada perancangan memajukan negeri dan rakyat? Bukankah MB Kedah kini meragui kesetiaan dan kewibawaan Exconya sendiri?. " Pelabur asing juga sudah lari ke negeri lain kerana ketidakupayaan kerajaan negeri mengurus infrastruktur asas di kawasan perindustrian. Bukankah pusat hiburan dan rumah urut bertambah di Kedah?" soal beliau. Beliau berkata yang terbaharu ketika persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, rakyat Kedah diperdaya bahawa Kedah akan mendapat hasil RM20 juta jualan air kepada Pulau Pinang walhal menurut anggota Exco terlibat, mesyuarat antara kedua-dua negeri baru hendak bermula. "Banyak lagi persoalan akan dibongkarkan bila tiba masanya. Kepada rakyat, kalau pada 2008 marah kepada BN, mungkin kami buat silap. Seperti juga presiden, kami minta maaf. Kami berjanji akan menjadikan Kedah lebih cemerlang dan seperti negara-negeri maju di negara ini. Kita (Umno dan BN) mampu tadbir jauh lebih baik daripada pakatan pembangkang," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!