X

Kindly register in order to view this article
!

Umno bidas kenyataan Ketua Srikandi Bersatu

SHAHANIM
A
A

ALOR SETAR - Ketua Bahagian Umno Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff membidas kenyataan yang dibuat Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun yang mendakwa kononnya Umno terpesong daripada perjuangan.

Menurutnya, dakwaan Rina kononnya Umno terpesong daripada perjuangan untuk mempertahankan dan memartabatkan hak keistimewaan Melayu merupakan satu kenyataan yang jelik lagi dangkal.

"Rina perlu sedar, kemenangan PH dalam pilihanraya umum yang lalu tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur kerana kemenangan tersebut disebabkan janji-janji menifesto yang jelas menipu pengundi serta gerakan fitnah dan propaganda jahat untuk memperbodohkan rakyat yang berjaya dilaksanakan dengan liciknya.

"Tindakan itu menyebabkan, rakyat terpedaya dengan hasutan," katanya, dalam satu kenyataan kepada media, di sini, semalam.

Tambah bekas Senator Kedah,  berdasarkan keputusan PRU yang lalu, Bersatu hanya  memenangi 12 daripada 52 iaitu bersamaan 23 peratus sahaja.

"Jelas bahawa PKR dan DAP adalah ‘kata pemutus’ atau dalam kata sebenar ‘penentu hala tuju’ sebenar di dalam PH berbanding Bersatu.

"Disebabkan itu, jelas sekarang pelbagai cara dan helah  terpaksa dilakukan bagi ‘membeli’ ahli-ahli Parlimen khususnya dari Umno bagi memastikan Bersatu kekal relevan sebagai ‘abang besar’ di dalam PH," katanya.

Shahanim turut mendakwa terdapat desakan dan ugutan dilakukan (Bersatu) bagi menakut-nakutkan pemimpin Umno agar segera keluar parti.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kekecewaan, walaupun sudah hampir enam bulan PH mengambil alih teraju kepimpinan negara, sehingga kini masih belum ada satu pun pencapaian yang boleh dibanggakan khususnya untuk orang Melayu.

"Sedar atau tidak, bantuan rakyat khususnya untuk orang Melayu sudah di tarik perlahan-lahan antaranya tajaan untuk menunaikan haji, BR1M (bakal dihapuskan), bantuan bulanan untuk golongan nelayan, kakitangan kerajaan berstatus kontrak dibuang kerja dan banyak lagi.

"Paling menyedihkan peruntukan untuk membina masjid juga dibatalkan walaupun ia telah diluluskan sebelum ini," katanya.

Justeru, beliau meminta Rina  memberikan fokus terhadap kementerian yang diterajuinya terlebih dahulu dan masa sama mencari jalan untuk memenuhi semua janji-janji di dalam manifesto yang dibentangkan dahulu.

"Sekiranya rakyat mampu menjatuhkan kerajaan Umno dan BN yang berjasa hampir 22 tahun, sudah pasti rakyat mampu melakukan perkara yang sama terhadap kerajaan PH yang baharu setahun jagung," katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!