X

Kindly register in order to view this article
!

Tun M rancang tubuh parti baharu tapi...

Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto EPA
A
A

PUTRAJAYA -  [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merancang untuk menubuhkan parti politik baharu dalam masa terdekat sebelum membentuk blok pembangkang yang lebih besar di negara ini.

Menurutnya, pihak yang menyokong Deklarasi Rakyat sebelum ini telah bersetuju terhadap perancangannya itu.

"Mereka bersedia menerima parti politik baharu jika ia berkongsi matlamat seperti mereka.

"Saya hanya pengasas. Tidak semestinya saya menjadi Presiden parti," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan beberapa pimpinan pembangkang dan NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Menurutnya, melalui pertemuan lebih tiga jam itu, semua pihak yang hadir bersetuju untuk bekerjasama mengalahkan BN untuk memastikan hanya satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Walaupun kita bukan satu parti politik tapi kita wakili satu kumpulan rakyat (blok pembangkang) yang berpendapat kerajaan BN sekarang ini telah melakukan perbuatan yang merugikan negara khususnya Datuk Seri Najib (Tun Razak).

"Kita akan bekerjasama seperti satu pakatan. Kita akan mengetepikan sebarang perbezaan antara kita dan tak akan utamakan perjuangan parti masing-masing sebaliknya utamakan perjuangan untuk capai kemenangan dalam PRU14," katanya.

Sebelum ini, Mahathir melalui Deklarasi Rakyat hanya memfokuskan untuk menjatuhkan Najib.

Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan Datuk Shafie Apdal kelihatan hadir pada mesyuarat tersebut.

Ketika ditanya pendirian Shafie Apdal memandangkan beliau tidak menyertai sidang media tersebut, Mahathir menjawab, "Shafie ada tadi... bercakap agak banyak".

Beliau juga memberitahu parti baharu itu bakal ditubuhkan secepat mungkin dan masih belum diputuskan kumpulan sasar bagi parti itu.

Mengulas soal ketiadaan Pas dalam pakatan itu, Mahathir berkata, pihaknya masih tidak jelas dengan pendirian Pas.

"Tapi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) buat kenyataan tentang genjatan senjata itu, kita setuju.

"Pas juga masih menganggap mereka sebahagian daripada pembangkang, jadi, kita harap mereka tak serang kita, maka kita pun tak serang merekalah," katanya.  


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus