X

Kindly register in order to view this article
!

Tak boleh tubuh kerajaan perpaduan

Abdul Hadi Awang
A
A

MARANG - "Tidak boleh!". Demikian jawapan ringkas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan di antara Pas dan Umno di Terengganu pada saat Umno dalam keadaan terumbang-ambing.

Malah, beliau turut menyifatkan kedudukan Umno di negeri Terengganu kini dalam keadaan ‘darurat’ berikutan krisis yang melibatkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan Istana Terengganu.

“Tujuan kena ikhlas (untuk mewujudkan kerajaan perpaduan), jangan tujuan kerana darurat. Ini darurat, tidak boleh,” katanya sambil menegaskan beliau, bagaimanapun, tidak mengikuti sepenuhnya perkembangan Umno di negeri itu.

Ketika ditanya selain faktor politik semasa, adakah Pas meletakkan apa-apa syarat jika Umno di Terengganu mahu bersama dengan Pas yang dasarnya memperjuangkan Islam, tegasnya, perkara itu sudah dimaklumkan sebelum ini.

“Kita dah cakap lama (mengenai penubuhan kerajaan perpaduan). Kena baca balik (kenyataan-kenyataan saya sebelum ini),” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila di sini, semalam.

Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu jelas menunjukkan ketegasan pendiriannya sebelum ini yang diluahkan selepas merasmikan Himpunan NGO Marang di pekarangan Masjid Pasir Puteh, Merchang, di sini, minggu lalu.

Ketika itu, beliau berkata Pas tidak ada halangan untuk bersama mana-mana parti politik di negara ini dengan syarat mereka boleh menerima Islam, al-Quran dan as-Sunnah.

“Siapa pun tak kisah, Umno ke, DAP pun... jika terima Islam. Siapa yang masuk Islam kita terima,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau juga dipetik berkata, jika Umno bersedia bersama dengan Pas, muzakarah perlu diadakan bagi mencari titik persamaan itu.

Sementara itu, ketika mengulas pandangan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang mencadangkan agar parti Pas dan Umno bergabung, Abdul Hadi mengulangi syarat Dr Zakir, iaitu mengikut al-Quran dan as-Sunnah.

“Dr Zakir sebut kena ikut al-Quran dan as-Sunnah, tapi orang lupa syarat itu,” katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!