X

Kindly register in order to view this article
!

Syed Saddiq perlu bertanggungjawab atas kekecohan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini diminta bertanggungjawab berhubung insiden kekecohan semasa forum 'Nothing to Hide 2.0, anjuran sayap Pemuda parti itu di Shah Alam semalam hingga ada yang cedera.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, Syed Saddiq seharusnya dipertanggungjawabkan kerana gagal menjamin keselamatan mereka yang menghadiri forum itu serta membendung daripada berlaku keganasan sedemikian.

"Ketua Armada (Syed Saddiq) seharusnya telah menjangka kejadian-kejadian seperti ini dan menyediakan aspek keselamatan yang tinggi sepanjang forum ini berlangsung," katanya kepada pemberita di  lobi Dewan Negara di sini.

Kekecohan tercetus kira-kira 5.10 petang apabila peserta forum tidak berpuas hati dengan jawapan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad  berhubung peristiwa Memali, dan secara tiba-tiba ada individu membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum menyalakan suar dan membalingnya ke arah Dr Mahathir yang berada di tengah pentas.

Keadaan itu telah menimbulkan rasa panik sehingga peserta program terpaksa berlari keluar dewan untuk menyelamatkan diri menyebabkan beberapa individu termasuk seorang wartawan dipercayai cedera ringan akibat jatuh ketika menyelamatkan diri selain berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri ketika berlaku kekecohan.

Sehingga ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam,  Assiten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan tiga remaja lelaki berusia 17 hingga 19 ditahan bagi membantu siasatan kejadian itu.

Azwan yang mewakili Pemuda Umno juga mengutuk sekeras-kerasnya insiden berkenaan dan menyifatkannya sebagai peringatan kepada Bersatu bahawa tidak semua anggota parti itu suka kepada pemimpin mereka dan ada kemungkinan ia dirancang anggota Bersatu semata-mata untuk memburuk-burukkan nama Umno dengan menuduh parti itu terlibat menimbulkan kekecohan itu.

Beliau juga menafikan Pemuda Umno terlibat dalam insiden berkenaan dan sebaliknya mahu pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya serta menahan pihak yang bertanggungjawab.

"Pemuda (Umno) tidak begitu bodoh untuk menyerang majlis orang lain, dan kepada pembangkang yang menuduh Umno terlibat, biar polis melakukan siasatan terlebih dahulu, bukan buat tuduhan melulu sebelum polis selesai menyiasat," tegasnya. - Bernama  


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!