MUHAMMAD SANUSI
A
A

 ALOR SETAR - Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menafikan laporan blog proUmno yang mengaitkan dirinya dengan rasuah bernilai RM1.3 juta, yang disebarkan sejak petang kelmarin.             Katanya, dakwaan itu adalah fitnah semata-mata namun enggan melayan propaganda murahan oleh beberapa blog tempatan yang ingin mencari publisiti.            “Saya didakwa berada dalam lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah petang kelmarin, sedangkan ketika itu, saya hadir pada program Menteri Besar menyampaikan sumbangan Ramadan di Masjid Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar,” katanya, ketika dihubungi.               Muhammad Sanusi yang juga Ketua Penerangan Pas Kedah menyifatkan ia antara usaha mengheret pemimpin Pas terjerat dalam perangkap musuh politik, terutama menjelang kehangatan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).             “Sepatutnya pihak yang sebarkan fitnah itu hormati bulan Ramadan. Saya tahu siapa dalang di sebalik cerita tidak berasas itu, dan tidak berhasrat mengambil apa-apa tindakan. Namun sekiranya ianya berterusan, saya tidak menolak kemungkinan menggunakan saluran perundangan,” katanya.             Menurutnya, beliau hanya mengetahui mengenai fitnah itu apabila dihubungi seorang rakan bertanyakan perkara itu, dan mengambil sikap berdiam diri selagi ianya tidak menjejaskan nama baiknya.             “Mungkin ada pihak yang tidak senang dengan keakraban saya dengan Menteri Besar selaku Setiausaha Politik, dan mahu jatuhkan kredibiliti saya. Mungkin juga ia antara agenda mahu calarkan imej Menteri Besar dengan membuat serangan peribadi terhadap saya terlebih dahulu,” katanya.              Muhammad Sanusi berkata, pihaknya menyifatkan penyebaran fitnah itu sebagai usaha pihak tertentu untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap pemimpin Pas Kedah.             Sejak 2 petang kelmarin, beberapa blog proUmno dilihat mencanang dakwaan konon Muhammad Sanusi sudah ditahan dalam lokap SPRM atas tuduhan rasuah bernilai lebih RM1.3 juta. Laporan blog berkenaan turut mengaitkan sasaran seterusnya adalah Pegawai Kewangan Negeri Kedah, yang juga sepupu kepada Menteri Besar, Datuk Mohd Puat Mohd Ali.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×