X

Kindly register in order to view this article
!

Sekali lagi Najib ajak Abdul Hadi bersatu

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua, kanan) senada untuk mengekalkan perpaduan ummah pada Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, 17 Disember 2015. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [VIDEO] Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengajak Pas untuk bergabung dengan Umno.

Kali ini, hasrat itu disuarakan Najib di hadapan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dalam Multaqa Serantau Alumni Al Azhar, di sebuah hotel dekat sini.

"Seperti ayat 103 surah al-Imran yang maksudnya berpegang teguh lah kamu dengan  tali ALLAH dan jangan berpecah.

"Cuba kita kupas dan renung. Apakah pengertian ayat ini. Ayat ini bermula dengan perintah. Ini bukan pilihan, ini wajib. Makna bila ALLAH perintah, wajib kepada kita untuk ikut seterusnya menjurus kepada perpaduan. Dalam ayat itu juga ditegaskan jangan kamu berpecah belah.

"Maka saya ingin menyatakan bahawa saya mewakili kabilah saya dan tuan guru (Abdul Hadi) mewakili kabilah beliau supaya untuk berpegang kepada pengertian ayat ini dan bersatu," katanya.

Menurutnya, Islam menganjurkan betapa penting perpaduan dan kesatuan ummah. Sebaliknya betapa bahaya mudaratnya apabila umat Islam terjebak dalam kancah pepercahan dan perbalahan.

"Sungguhpun Islam mewajibkan prinsip tolong menolong, dalam  masa sama juga meraikan pandangan  dan pendapat yang pelbagai apatah lagi jika berkait dengan urusan dunia.

"Sudah tentu kita yakin perpaduan itu sangat penting buat umat Islam. Namun soalan lebih kritikal ialah bagaimana untuk membina perpaduan itu?,"soalnya.

Kata Najib, setiap pihak perlu mengakui kemajmukan itu wujud di negara ini.

"Ia supaya secara fitrah belajar kepentingan  saling lengkap melengkapi antara kita. Mengisyaratkan perpaduan itu dengan budaya hidup bermasyarakat yang berpositf dan akhlak terpuji," katanya.

Katanya lagi, perpaduan itu menuntut tindakan yang berhikmah dan berpandangan jauh.

"Kita perlu mempunyai pandangan yang dalam apakah agenda dan natijah akhir yang terzahir apabila perpaduan  itu terhasil dan apa pula mudaratnya apabila perpaduan itu hancur.

"Saya ambil contoh peristiwa Hajarul Aswad dan kebijaksanaan Rasulullah untuk meletakkanya pada tempatnya. Rasullulah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan menyuruh Hajarul Aswad diletak di atas kain putih dan setiap ketua kabilah memegang kain putih yang ada Hajarul Aswad itu. Kemudian Rasulullah meletakan hajarul aswad itu pada tempatnya.Ini lah penyatuan dan kesatuan dalam Islam yang penuh kebijaksanaan," katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus