X

Kindly register in order to view this article
!

Saya tak hina orang Bugis, kata Mahathir

A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau bukannya menghina orang Bugis, sebaliknya hanya merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘lanun Bugis’.

Katanya, gelaran itu hanya ditujukan kepada Najib, bukan keseluruhan masyarakat Bugis.

“Saya tak perlu minta maaf sebab saya tak kata semua Bugis, saya hanya kata kepada seorang sahaja,” katanya, pada sidang media, selepas perasmian Konvensyen Nasional Amanah, semalam.

Terdahulu pada ceramah Selamatkan Malaysia dan Kenduri Rakyat Pakatan Harapan, di Dataran Stargate, malam semalam, Mahathir berkata, ada pihak mendakwa beliau menghina orang Bugis, namun tegasnya, tidak semua orang Bugis itu dikategorikan sebagai ‘penyangak’.

“Bila saya kata Najib sebagai lanun Bugis, dia mengaku dia panglima Bugis. Dia suruh orang Bugis di Malaysia buat demonstrasi depan pejabat saya, ketika itu cuti Deepavali, pejabat kosong, tapi sudah dirancang buat jugalah,” katanya.

Menurutnya, apa yang diucapnya pada himpunan sebelum ini bukan suatu kesalahan.

“Saya tak hina orang Bugis. Ada yang baik, ada juga penyangak. Antara penyangak Bugis adalah Najib. Salah kah apa yang saya cakap, tak kan tak ada kalangan mereka jadi penyangak,” katanya.

Mahathir turut menempelak cubaan Najib mengalihkan pandangan berhubung isu ini dengan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Inilah cara Najib, dia suruh orang buat laporan polis supaya siasatan dibuat dan kita dipanggil untuk soal siasat,” katanya.

Mahathir dalam ucapannya di Himpunan Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya, Sabtu lalu, menyebut bahawa Najib mungkin berasal dari lanun Bugis, yang sesat ke Malaysia dan memintanya pulang ke tempat asalnya.

Mahathir bersama anak Malaysia mewakili semua kaum mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu Jalur Gemilang.

Kenyataan bekas perdana menteri itu mengguris hati masyarakat Bugis, menyebabkan tiga laporan polis dibuat oleh Persatuan Bugis Johor di Batu Pahat; Persatuan Bugis Kota Tinggi serta Persatuan Bugis Benut.

Dalam pada itu, Mahathir mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperalatkan Najib untuk menahan pihak yang menentang kerajaan.

“Sekarang Najib guna jabatan kerajaan bukan sahaja ugut, tapi tangkap orang bila ada pihak  menentang dia. Terbaharu, pemimpin utama parti Warisan, termasuk Datuk Seri Shafie Apdal yang ditahan konon terlibat rasuah dan salah guna wang,” katanya.

Menurutnya, apa yang menghairankan kenapa siasatan dilakukan selepas Shafie menyertai pembangkang, sedangkan dakwaan mengatakan ia berlaku ketika Shafie mengetuai Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

“Shafie diselidik cari macam-macam, kenapa tak selidik masa dia jadi menteri, sebabnya dia sekarang terajui parti yang menentang Najib,” katanya.

Mahathir kesal, tindakan sama tidak dilakukan terhadap Najib yang terbukti memiliki sejumlah RM2.6 bilion dalam akaunnya, termasuk laporan bank serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), namun siasatan tidak dilakukan.

“Pendakwaraya kata tak ada bukti. SPRM pun puas hati, eloklah badan itu pun dipimpin perasuah juga, tapi tiada tindakan. Tapi bila kita salah cakap, nak diambil tindakan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!