X

Kindly register in order to view this article
!

Salahuddin: Bukan matlamat jadi MB

A
A

KOTA BHARU - Bukan jawatan sebagai Menteri Besar yang dikejar setelah hampir 30 tahun berkhidmat dalam Pas, sebaliknya kemenangan dan kecemerlangan parti diutamakan. Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, beliau ingin melihat kemenangan parti tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti tetapi tidak berlumba-lumba menjadi orang penting di negeri. Menurutnya, jawatan berkenaan bukan matlamat terakhir sepanjang perjuangannya dalam Pas, tetapi lebih besar ialah penguasaan parti dalam menentukan keputusan PRU13 yang akan diadakan bila-bila masa. “Bukan matlamat sebenar saya untuk menjadi Menteri Besar, apa yang penting bagi saya adalah untuk melihat Pas menang dalam pilihan raya nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, tadi. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, tidak mahu ada pihak yang salah anggap dengan penawaran jawatan berkenaan kerana ia masih terlalu awal dan jawatan itu bukan idamannya. “Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan dan laluan kepada saya dalam parti ini. Tetapi bukan itu (Menteri Besar) sasaran saya,” katanya. Dalam nada rendah, beliau tidak mahu dilihat dirinya tampil lebih menonjol untuk jawatan tersebut sedangkan ia satu bayangan awal. Sebagai ahli Pas, Salahuddin memberi laluan dan kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya kerana beliau tidak berhak tentukan. Ditanya sama ada masih mahu kekal bertanding di Kelantan pada PRU13 nanti atau kembali ke negeri asalnya di Johor, beliau dengan terbukanya menerima sebarang keputusan daripada pucuk pimpinan. "Terpulanglah kepada parti. Saya sedia bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan nanti dan pastinya untuk kecemerlangan Pas,” katanya. Semalam, Pesuruh Jaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, Salahuddin akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor sekiranya Pas menguasai negeri itu dalam PRU13.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!