X

Kindly register in order to view this article
!

Reformasi 1998 bukan kerana Anwar semata-mata

Anwar Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan reformasi yang berlaku pada September 1998 setelah bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno bukan kerana Anwar semata-mata. Sebaliknya, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, gerakan itu berlaku kerana rakyat melihat perlanggaran prinsip keadilan dan kebenaran terjadi terhadap Anwar. “Betul bahawa kita melihat peribadi Datuk Seri Anwar itu penting, beliaulah yang mencetuskan satu suntikan semangat kuat tapi saya rasa juga pada masa sama, ramai yang terlibat itu bukan kerana sosok Datuk Seri Anwar semata-mata. “Tetapi kerana mereka percaya bahawa apa yang berlaku itu tidak boleh dibenarkan berlaku. Perlanggaran prinsip keadilan dan kebenaran, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya... itu semua menyebabkan rakyat bangkit. Pada saya, reformasi itu tercetus kerana kebangkitan rakyat itu sendiri,” katanya pada Forum Reformasi Perjuangan Diteruskan di sini, malam semalam. Gerakan reformasi merupakan beberapa acara tunjuk perasaan besar-besaran yang dilakukan rakyat menentang kerajaan sehingga Anwar dipenjara pada tahun sama. Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, sokongan yang diterima Anwar ketika itu bukan kerana rakyat menyokong pemimpin itu sahaja sebaliknya mereka terkejut melihat orang nombor dua negara diperlakukan sebegitu. “Reformasi 1998 bermula apabila Datuk Seri Anwar dipecat daripada timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden Umno. Maka berlaku satu gerakan. Sebenarnya pada ketika itu, lebih ramai orang yang rasa terkejut banding dengan orang yang rasa nak sokong Anwar... bukan kerana nak sokong Anwar.  “Tetapi terkejut kerana orang nombor dua dalam negara boleh dilakukan sedemikian rupa dan mereka bayangkan, jika orang nombor dua boleh kena sebegitu, apatah lagi orang yang nombor 2,000 atau 1 juta. Insiden mata lebam sangat mengejutkan banyak pihak,” katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!