PRU14: Esok pun boleh, kata Shahrizat

Shahrizat
A
A

PUTRAJAYA – Wanita Umno menyatakan kesediaan jenteranya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil berkata, kemenangan besar BN di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Sabtu lalu sebagai simbolik positif, rakyat menerima parti itu di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan pemangku Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Wanita bersedia bila-bila masa. Kita serahkan pada Presiden. Esok pun boleh, tahun depan pun boleh. Terpulang kepada keputusan yang terbaik oleh Presiden.

“Pada saya, kemenangan BN satu petanda yang amat baik. Ini memang dikatakan sudah terang lagi bersuluh,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Timbalan Perdana Menteri di sini, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dilaporkan berkata selepas kemenangan BN itu merupakan tempoh sesuai sekiranya PRU mahu dilakukan lebih awal.

BN mengekalkan kemenangan di dua PRK itu apabila meraih  majoriti 6,969 undi di Kuala Kangsar berbanding 1,082 undi dalam pilihan raya umum 2013 dan majoriti 9,191 undi di Sungai Besar, berbanding majoriti 399 undi pada 2013.

Shahrizat akui merasa terharu dengan sokongan rakyat kepada BN di dunia Parlimen itu.

“Yang saya rasa terharu...terima kasih banyak kepada semua pengundi kerana ini adalah penghakiman dari mahkamah rakyat. Itu yang tak boleh dipertikaikan,” katanya.

Sementara Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata lebih elok sekiranya PRU14 dicepatkan namun ada perkara yang perlu diselesaikan sebelum berlakunya pilihan raya.

“Boleh tapi ada beberapa perkara yang perlu dibuat dulu. Antaranya soal persempadanan semula kawasan Dun dan Parlimen. Itu akan ambil masa kerana memerlukan kelulusan Parlimen. Tapi elok juga dibuat pilihan raya secepat mungkin.

“Mungkin di kawasan bandar sentimen itu masih belum berubah lagi tapi di kawasan separa bandar dan luar bandar memang memihak kepada BN,” katanya.


×