Johari Abdul
A
A

KUALA LUMPUR - PKR menghormati keputusan lima Adun Pulau Pinang yang tidak mengundi dalam usul tambakan laut di pada sidang Dun negeri itu Jumaat lalu.

Pengerusi Biro Penyelaras Ahli Parlimen dan Adun, Datuk Johari Abdul berkata, parti menghormati perbezaan pendapat dan menyifatkannya demokrasi sihat.

"Parti mengambil kira bahawa usul yang dibawa di dalam dewan itu bukan usul melibatkan mana- mana parti," katanya.

Menurutnya, selepas mendengar penjelasan Adun terlibat, pihaknya berpuas hati.

"Ianya sebenarnya berkenaan usul alam sekitar dan kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata, PKR komited dengan kerajaan Pakatan Harapan negeri itu.

"Adun PKR menyokong kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan negeri.

"Isu ini dianggap selesai," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan lima Adua berkenaan di Pejabat Ketua Pembangkang, Parlimen hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, Pulau Pinang merupakan antara negeri tumpuan pelancong.

"Eloklah jika Adun mengambil sikap berkecuali mengenai hal ini demi kepentingan tersebut," katanya.

Lima Adun itu adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Usul yang dikemukakan oleh Adun BN, Muhamad Farid Saad meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut dan menangguhkan kesemua rancangan penambakan laut baru sehingga kajian kesan alam sekitar serta sosial dibuat.

Usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti.

Hanya 10 Adun menyokongnya iaitu sembilan Adun BN dan seorang daripada DAP, manakala 23 dari Pakatan Harapan menentangnya.

Adun DAP (Tanjung Bungah), Teh Yee Cheu yang menyokong usul tersebut mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang berkuatkuasa Selasa lalu dan bersedia berhadapan dengan tindakan daripada parti.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyifatkan bahawa lima Adun PKR itu bersama Umno. Johari bagaimanapun menolak dakwaan Guan Eng kerana isu tersebut jelas.

"PKR belum lagi jumpa dengan Guan Eng. Jika jumpa selesaikan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×