X

Kindly register in order to view this article
!

PKR bincang isu tindih kerusi lepas PRN Sarawak

Nurul Izzah bersama kepimpinan PKR selepas sidang media hari ini.
Nurul Izzah bersama kepimpinan PKR selepas sidang media hari ini.
A
A

PETALING JAYA - PKR memberitahu parti itu akan mengadakan perbincangan dengan rakan komponennya, DAP selepas Pilihanraya Negeri (PRN) di Sarawak selesai, 7 Mei ini.

Pengarah pilihanraya PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, buat masa ini pihaknya lebih menumpu kepada kempen PRN di negeri tersebut.

"Saya dah rasa cukup dah banyak komen berkait isu pencalonan. Apa yang penting tertumpu kepada kempen yang sedang berlangsung.

"Maka kita akan adakan mesyuarat dan rungkai isu-isu ini selepas 7 Mei. Jadi kalau itulah soalan yang akan ditanya, saya akan menjawab cara yang sama juga kecuali ada soalan-soalan lain," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Selepas penamaan calon, berlaku pertembungan enam kerusi Dun antara PKR dengan DAP dilaporkan iaitu Mulu, Mambong, Ngemah, Murum, Simanggang dan Batu Kitang.

Perkara itu nyata membuatkan DAP kesal dan menafikan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali kerap berhubung dengan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengenai enam kerusi itu.

Ketika ditanya tentang kenyataan DAP berkait pertindihan itu, Nurul Izzah berkata, kenyataan tersebut jelas menjurus kepada bergerak ke hadapan.

"Jadi, hari ini saya tertumpu kepada calon-calon dan gerak kerja di lapangan.

"Buat masa ini kempen sedang berlangsung jadi, suka atau tidak ada banyak isu lain yang kita perlu selesaikan selepas 7 Mei," katanya.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 82 Dun dipertandingkan, dan dari jumlah itu, dua Dun telah dimenangi BN tanpa bertanding iaitu di Dun Bukit Sari dan Dun Bukit Kota.

Sementara ketika ditanya tentang pertindihan kerusi dengan Pas di tiga Dun (Kakus, Jepak dan Lambir) dalam pilihanraya itu, Nurul Izzah terus mengunci mulut sebelum meninggalkan sidang media.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!