Pemuda Umno desak Zahid letak jawatan?

Ketua Pembangkang yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi keluar meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas hadir untuk memberi sokongan kepada Bekas Perdana Menteri yang didakwa dengan enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion pagi ini.
 - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Umno akan membuat desakan supaya Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan ekoran kes mahkamah yang dihadapi beliau.

Menurut sumber, desakan itu bakal dibuat dalam Mesyuarat Exco Pemuda Umno yang diadakan hari ini di Ibu Pejabat Umno di Bangunan Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Desakan itu susulan Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu atas 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

“Mesyuarat itu akan mendesak Ahmad Zahid letak jawatan atau berundur dan berehat. Datuk Seri Mohamad Hasan(Timbalan Presiden Umno) akan diminta memangku jawatan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid mengaku tak salah 45 tuduhan]

Sumber itu berkata, dalam beberapa siri perjumpaan membabitkan Pemuda Umno, sayap parti itu mahu Ahmad Zahid berundur.

“Saya tidak tahu sejauh mana Ahmad Zahid mampu bertahan,” kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan didesak supaya meninggalkan Umno kerana kes yang dihadapi bekas Presiden Umno itu memberi imej tidak baik kepada parti.

Dalam pertuduhan tersebut, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca dihadapan hakim Azura Alwi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Presiden didakwa, Umno akan bincang pelan parti]

Rentetan itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat bagi membincangkan hala tuju dan tindakan parti susulan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes seleweng: MT Umno bincang kedudukan Zahid]

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut senada dengan Mohamad berkata, keputusan mengenai kedudukan Ahmad Zahid wajar ditentukan menerusi mesyuarat MT Umno.

Semalam, Ahmad Zahid juga disiasat berhubung dakwaannya bahawa RM116.7 juta yang dirampas dalam serbuan di premis berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah milik parti itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wang rampasan Umno, Zahid disiasat]

Difahamkan, keterangan Ahmad Zahid diambil pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman, dan berlangsung selama satu setengah jam.

Menurut sumber itu, polis akan memanggil beberapa lagi pemimpin Umno sekiranya perlu bagi membantu siasatan kes sama.  


×