X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda Umno bukan mahu rebut jawatan

Grafik Sinar Online
Grafik Sinar Online
A
A

SENAI - Barisan sayap Pemuda Umno menegaskan keinginan mereka untuk terlibat secara agresif dalam kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan bertujuan merebut jawatan, sebaliknya ingin diberikan tanggungjawab untuk sama-sama mengukuhkan parti.

Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, Pemuda Umno bukan mahu merebut imbuhan atau pendapatan dengan memegang jawatan utama dalam kerajaan tetapi menuntut posisi yang bersesuaian dengan konteks belia dan anak muda. “Kita bukan harapkan imbuhan atau pendapatan tetapi kita mahu mainkan peranan yang bersesuaian untuk sama-sama membantu meningkatkan prestasi parti menerusi penglibatan belia,” katanya. Selain itu katanya, golongan Pemuda Umno juga perlu faham bahawa visi dan matlamat mereka untuk melibatkan diri di dalam kerajaan  dan GLC adalah bukan bersandarkan kepada kepentingan kewangan. “Kita mahukan peranan dan tanggungjawab kerana kita yakin pemuda boleh bergerak dengan lebih agresif untuk mempromosikan parti jika diberi peluang dalam GLC. “Kita lihat banyak GLC yang melakukan CSR tetapi mereka tidak membawa jenama parti bersama-sama, sedangkan mereka ditubuhkan oleh kerajaan parti yang memerintah. “Dengan adanya penglibatan belia saya yakin banyak usaha-usaha mempromosikan parti boleh dilakukan seiring dengan aktiviti CSR yang dijalankan oleh GLC,” katanya. Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Syahrin Md Jamaluddin berkata, suara Pemuda Umno yang semakin lantang menuntut perhatian untuk diberi peluang berada dalam saf kepimpinan tertinggi parti, Kabinet dan GLC bukan bermakna mereka tamak kuasa dan kedudukan. Sebaliknya, golongan muda ini hanya ingin diberikan sedikit ruang untuk sama-sama menyumbang jasa demi agama, bangsa dan negara. “Golongan muda hanya mahu menjadi sebahagian daripada kelompok yang mampu menabur bakti dan jasa kepada negara ini melalui satu platform yang lebih relevan, bukan hanya menjadi ‘pak ikut’ dari belakang,” katanya. Menurutnya, jika diukur pada sejarah tanah air juga ramai pemimpin dan pegawai-pegawai kanan dahulu diberi peluang dan amanah di usia yang juga terlalu muda. Katanya, ini bermaksud penglibatan orang muda sebenarnya sudah lama diyakini dan bukannya satu penghalang kepada pemimpin senior untuk bekerjasama membangunkan negara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!