X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin BN diingat jangan ghairah keluar kenyataan

Annuar (kiri) beramah mesra dengan peserta Kursus Jana Pendapatan di Arked Mara, semalam.
A
A

BANDAR KUALA KANGSAR - Pemimpin parti komponen BN dinasihati tidak ghairah dan terburu-buru dalam membuat keputusan berhubung usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, 26 Mei lalu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketua-ketua parti komponen BN hendaklah mempamerkan tahap kefahaman lebih tinggi dalam sesuatu perkara dan tidak terpengaruh dengan tekanan DAP.

Menurutnya, mereka sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan dan ugutan untuk meletakkan jawatan seperti yang berlaku di Kedah baru-baru ini. 

“Parti komponen seperti Umno, MCA, MIC dan Gerakan mempunyai ‘track record’ tersendiri iaitu sebuah parti yang mempunyai sejarah yang utuh berbanding dengan pembangkang.

“Tidak manis apabila ada pemimpin kanan membuat kenyataan kalau dibentangkan di Parlimen nak meletakkan jawatan kerana semua ini berlaku kerana salah faham. Kita ada platform untuk berbincang. Jangan emosional sehingga mengeluarkan kenyataan menimbulkan kebimbangan rakyat terutama pada PRK Kuala Kangsar ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke program Kursus Jana Pendapatan di Arked Mara di sini, semalam.

Beliau berkata, Abdul Hadi membentangkan RUU untuk meminda Akta 355 kerana bidang kuasa mahkamah syariah yang terhad difikirkan tidak sesuai dan perlu dipinda.

Katanya, undang-udang hudud harus dibentangkan di negeri terbabit seperti di Kelantan yang dicadangkan oleh Pas.

“Sebagai ahli parlimen kita mempunyai hak untuk meminta Hadi supaya memberikan penerangan dan penjelasan sebelum RUU dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

“Kerajaan tidak terikat dengan pembentangan ini kerana kita mempunyai lima pilihan iaitu muafakat semua sokong secara whip, tolak secara whip, sokong atau tidak, mengundi mengikut selera hati dan tidak mengambil bahagian langsung. Semua itu kita boleh bincang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan komponen supaya tidak perlu takut kerana usul Abdul Hadi itu bukanlah isu sekarang kerana BN belum buat apa-apa pendirian setakat ini.

“Kita biar Hadi bentangkan dulu dan kita nak tengok kerana kita berpeluang kaji atau tolak apabila ia dibahaskan di Parlimen nanti,” katanya.

Beberapa pemimpin MCA dan MIC sebelum ini membuat kenyataan mahu mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah dalam mesyuarat jemaah Menteri.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf