X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Ahmad Fakhruddin
Dr Ahmad Fakhruddin
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah konsisten dengan pendirian hanya bersama PKR dan mana-mana parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima asas perjuangannya untuk kesejahteraan rakyat menerusi tahalluf siyasi.

Pesuruhjaya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, oleh itu tidak berbangkit soal menerima pelawaan Pakatan Harapan untuk bersama gabungan itu sama ada di peringkat negeri atau pusat.

“Hari ini rakyat melihat parti komponen Pakatan Harapan berselisih dalam sesuatu isu kesan dari pemakaian konsep ‘setuju untuk setuju’, sedangkan masing-masing memiliki ideologi perjuangan yang berbeza.

“Begitu juga pembentukan kerajaan negeri Kedah dari BN yang dipimpin Menteri Besar baharu (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) tidak dapat menunjukkan arah tuju jelas untuk menjadikan ‘Kedah senang’,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan balas terhadap tawaran Pakatan Harapan Kedah untuk parti Islam itu bersama mereka sebagai persiapan awal menentang BN pada PRU14.

Menurutnya, rakyat Kedah yang bermaklumat sentiasa mengikuti perkembangan politik dan Pas sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab mewakili mereka memberi pandangan dalam ruangan demokrasi yang diamalkan.

“Rakyat Kedah tertanya-tanya, apakah perancangan yang diuar-uarkan dalam manifesto BN akan masuk ke makmal transformasi kali kedua apabila berlaku pertukaran menteri besar,” katanya.

Kelmarin, Pakatan Harapan mengakui masih membuka pintu untuk Pas bersama gabungan yang disertai PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sebagai persiapan awal menghadapi PRU14.

Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sesiapa yang mempunyai visi yang sama iaitu untuk menumbangkan BN, dialu-alukan bersama Pakatan Harapan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!