MB Selangor perlu jawab isu hutang bank

A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menjelaskan mengapa beliau tidak perlu membayar hutang peribadinya di sebuah bank tempatan. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penerangan itu amat penting untuk diketahui rakyat memandangkan pinjaman peribadi Abdul Khalid di bank berkenaan melibatkan jumlah yang besar. "Bagaimana beliau boleh digugurkan daripada membayar hutangnya? Jumlahnya berpuluh-puluh juta (ringgit). Saya mahu tahu formula (digunakan Abdul Khalid). Jika bagus, saya mahu ia dimasukkan dalam manifesto PR. "Dengan formula itu nanti, ia dapat membantu rakyat yang tersekat dalam kemelut hutang," katanya secara sindiran, semalam. Menurut Saifuddin, Abdul Khalid perlu berani berkata benar jika beliau yakin tidak melakukan apa-apa kesilapan. "Isu bank ini juga saya ada sertakan dalam nota yang saya edarkan kepada semua pimpinan tertinggi PR. Abdul Khalid turut akan menerimanya. "Nota setebal 50 muka surat itu akan menjadi penentu kepada setiap kesalahan yang beliau lakukan," katanya. Saifuddin mendakwa, dalam kes itu, Abdul Khalid diperintahkan mahkamah supaya membayar semula hutang itu, namun difahamkan hutang itu digugurkan oleh bank berkenaan. "Sudahlah kalah, digugurkan pula. Persoalannya, cara apa yang beliau gunakan? "Beliau perlu tampil, jangan cerita isu lain dahulu," katanya, merujuk kepada tindakan Abdul Khalid yang mencabarnya untuk melaporkan salah laku yang didakwa berlaku kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saifuddin berkata, sebagai setiausaha agung, beliau bertanggungjawab memastikan ahli PKR tidak menyalahi perkara dilarang dalam parti. "Kalau beliau mengakui dilantik oleh rakyat, seharusnya beliau mendepani isu hutang ini sebaik-baiknya," katanya. Ditanya mengenai Abdul Khalid yang mencabarnya untuk membawa isu integritinya kepada SPRM, pihak polis dan Bank Negara Malaysia, Saifuddin berkata, perkara itu akan dilakukan selepas isu bank itu dijawab Abdul Khalid. "Saya mahu beliau menjawab dahulu, kemudian barulah tindakan seterusnya akan saya buat. "Saya harap beliau boleh bersabar dahulu. Selesai satu-satu baru cerita isu lain," katanya. PKR meminta Abdul Khalid berundur kerana didakwa mempunyai masalah integriti sepanjang tempoh pentadbiran di Selangor. Jawatan beliau akan digantikan oleh Adun Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


×