Kerajaan campuran sukar menjadi realiti

Grafik Sinar Online
A
A

KOTA BHARU – Cadangan kerajaan campuran antara Pas dan Umno yang dinyatakan ulama terkenal, Dr Zakir Naik adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan kerana kedua-dua parti mempunyai dasar berbeza.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata, cadangan tersebut boleh menjadi kenyataan jika salah satu daripada parti tersebut bersedia mengubah dasar perjuangan mereka.

“Saya juga merasakan beliau (Dr Zakir) mungkin tidak memahami realiti sebenar politik di negara ini. Jika kerjasama Pas dengan Umno dikatakan mampu membawa kebaikan untuk negara ini, ternyata ia adalah satu pemahaman yang salah,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, Umno itu sudah rosak sepenuhnya bermula dari atas,  sukar diperbaiki dan bagaimana pula Pas yang selama ini berjuang melawan Umno boleh membentuk kerjasama dengan lawan mereka.

Beliau juga berkata, Pas akan berada di landasan yang lebih baik jika tidak sesekali bersama Umno kerana kita sukar untuk nampak kebaikan sebagaimana kata Dr Zakir Naik.

“Selain itu, ia juga sesuatu yang sukar diterima oleh rakyat memandangkan Pas sebelum ini konsisten menentang Umno yang disifatkan sebagai sekularisme.

“Orang Islam di negara ini juga cukup maklum pimpinan mana yang mereka mahu pilih. Dalam negara berbilang bangsa dan latar ini,  kita tidak boleh hanya membicarakan tentang umat Islam sahaja. Sensitiviti penganut agama lain juga perlu diambil kira.

“Namun begitu Islam sebagai agama rasmi persekutuan tetap diutamakan. Dan lebih baik Dr Zakir Naik tidak banyak berbicara tentang politik negara ini untuk mengelak lebih banyak tanggapan lain,” katanya.


×