X

Kindly register in order to view this article
!

Kekalkan tradisi tak tanding Presiden

A
A

KUALA TERENGGANU – Pemimpin ulama Pas berharap ahli-ahli mengekalkan tradisi untuk memastikan jawatan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Muktamar Tahunan Pas, Jun depan.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Dr Abu Bakar Abdullah berkata, pertandingan melibatkan jawatan presiden tidak pernah berlaku selepas Pas melaksanakan kepimpinan ulama sejak 1980-an.

“Kalau ada yang hendak buat lain daripada itu, tidak ikut tradisilah. Kita yakin ahli-ahli akan guna cara syura,” katanya.

Beliau turut menyokong kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din supaya Pas peringkat kawasan tidak menamakan calon selain Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawat jawatan presiden Pas pada pemilihan Muktamar Tahunan Pas nanti.

Abu Bakar yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, menyifatkan kurang manis sekiranya kawasan-kawasan mencalonkan nama lain selain presiden sedia ada dan lebih baik tiada pertandingan bagi jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tetap terbuka jika kawasan menggunakan ruang demokrasi dengan mencalonkan nama lain sebagaimana dibuat Pas Kawasan Kota Bharu yang mencadangkan nama Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan presiden, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara sama pernah dilakukan Pas kawasan lain, umpamanya Pas Kawasan Bukit Bintang yang mencalonkan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mencabar Abdul Hadi beberapa penggal lalu.

“Terpulang kepada kawasan masing-masing. Mereka ada hak untuk buat pencalonan tetapi kita nasihatkan supaya tidak buat pencalonan selain Abdul Hadi untuk jawatan presiden,” katanya.

Menurutnya, tiada alasan menggantikan Abdul Hadi dengan pemimpin lain ketika ini apatah lagi ketokohannya diiktiraf dunia.

Beliau yakin Pas akan mendapat manfaat daripada pelantikan Abdul Hadi sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!