X

Kindly register in order to view this article
!

Jentera pentadbiran Kedah diminta bertugas seperti biasa

A
A

ALOR SETAR  - "Jentera pentadbiran kerajaan negeri Kedah, sama ada lantikan awam atau politik, diminta supaya meneruskan tugas seperti biasa dan tidak terganggu dengan krisis politik di negeri ini ketika ini," kata Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din.

Menurutnya, krisis itu tidak sepatutnya menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri dan ia perlu berfungsi seperti biasa.

"Mohon kerjasama. Isu berlaku, saya ingat semua faham apa yang sedang berlaku. Ketidaktentuan timbul kegusaran kepada rakyat," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bakar berharap, semua kakitangan awam persekutuan dan negeri dapat memainkan peranan tanpa mengeruhkan keadaan.

Tiada sesi soal jawab dalam sidang media Setiausaha Kerajaan Negeri itu.   

"Jangan keluarkan kenyataan yang boleh ganggu kelancaran pentadbiran negeri. Minta supaya kakitangan kerajaan tak libatkan diri dalam politik secara nyata. Kena faham fungsi mereka dan teruskan kerja.

"Isu ini tak patut jadi sebab untuk pentadbiran kerajaan negeri bermasalah," kata Bakar.

Beliau berkata, media juga memainkan peranan supaya jentera pentadbiran berjalan lancar.

Suasana politik di Kedah 'panas' sejak beberapa hari lalu apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menerima tekanan daripada Adun dan Ahli Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!