X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan kecewa dengan keputusan PRK‎, kata Hadi

Abdul Hadi Awang
A
A

SHAH ALAM - Pas mengingatkan penyokongnya agar tidak sesekali kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian meskipun ahli parti Islam itu menurutnya dikecewakan oleh majoriti pengundi yang tidak memberi kemenangan kepada Pas.

"Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, kalangan yang mewarisinya dalam menegakkan Islam akan dikecewakan merupakan dalil kenabian yang benar-benar berlaku selepas wafatnya Baginda dan menjadikan kita lebih yakin kepada perjuangan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, walaupun ALLAH SWT berkuasa dan boleh memenangkan perjuangan Islam yang sebenar dalam sekelip mata dengan firmanNYA sahaja, tetapi katanya, ALLAH menetapkan bahawa fitrahNYA sangat memakan masa dan melibatkan pengorbanan harta dan jiwa raga.

"Kerana ALLAH mahukan kemenangan daripada hambaNYA yang mempunyai niat yang sangat murni, sehinggalah murni juga pengisiannya selepas kemenangan itu," katanya.

Katanya lagi, ALLAH menunjukkan kisah daripada al-Quran betapa Nabi Nuh AS yang berdakwah memakan masa lebih sembilan ratus tahun, hanya berhasil mengumpulkan pengikut yang sangat kecil jumlahnya, sehingga dikatakan tidak sampai seratus orang dalam bahteranya.

"Ada pun Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS pula wafat dalam perjalanan ke bumi yang dijanjikan ALLAH dapat menegakkan ajaran Taurat, mereka wafat ketika dikecewakan oleh kaumnya yang tidak mahu berjihad, sehingga tidak sempat menyaksikan negara besar yang dipimpin oleh Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS setelah ia melalui beberapa abad lamanya.

"ALLAH membawa kisah-kisah umat terdahulu di dalam al-Quran yang menjadi petunjuk di sepanjang zaman.

"Maka Rasulullah SAW menegaskan bahawa di zaman mutakhir yang tidak ada lagi Rasul, maka adanya kumpulan di kalangan umatnya yang menyambung perjuangan yang tidak boleh dipadamkan cahayanya walaupun dikecewakan oleh manusia yang ramai,atau ditentang oleh musuh paling zalim," katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus