X

Kindly register in order to view this article
!

Jadikan agenda umat bukan parti politik

Dr Dzulkefly Ahmad
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad meminta semua pihak bersama-sama mengangkat pelaksanaan hukum hudud sebagai agenda umat dan bukannya parti politik semata-mata. Beliau tidak mahu polemik hudud diketengahkan, sebaliknya mahu semua pihak, termasuk Pas, Umno, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan profesor bersama-sama dalam perkara itu. Dzulkefly berkata, Pas terbukti sentiasa komited memperjuangkan syariah secara menyeluruh. Beliau berkata, Pas berjiwa besar dan ingin mengajak semua pihak untuk bersama-sama kerana ia bukanlah tugas parti itu sahaja untuk menjadikan pelaksanaan hukum hudud tercapai. Katanya,  semua pihak perlu bersama-sama meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 kerana selagi ia tidak dipinda maka hudud tidak dapat dilaksanakan. “Akta Mahkamah Syariah 1965 perlu dipinda kerana ia menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum hudud,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam. Kelmarin, akhbar ini melaporkan Dzulkefly menjelaskan hudud tidak boleh dilaksanakan selagi rakyat tidak menerima dan memahami undang-undang Islam itu secara menyeluruh. Bagaimanapun, Dzulkefly berkata, perkara itu tidak perlu dibuat dalam keadaan terburu-buru kerana ia memerlukan penerangan, didikan dan penjelasan yang secukupnya. Menurutnya, penerangan yang menyeluruh adalah amat penting supaya rakyat memahaminya. Katanya, walaupun hukum hudud tersebut adalah untuk orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga dibenarkan untuk memberi sebarang pandangan. “Ia mesti bina pendekatan mendidik dan menerangkan kepada semua pihak termasuk bukan Islam agar mereka faham mengenainya. “Perkara ini tidak perlu tergesa-gesa dan kita mesti cermat dalam menerangkan kepada rakyat supaya sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka memahami mengenainya dan barulah ia demokratik,” katanya. Dzulkefly berharap isu hudud ini tidak terus dipolemikkan dan dapat memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) terlebih dahulu. Katanya, semua pihak perlu fokus kepada isu sebenar PRU. “Izinkan PRU berlalu dahulu dan kita fokus isu sebenar PRU iaitu melibatkan ekonomi, harga barang naik, rasuah dan sebagainya," katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!