X

Kindly register in order to view this article
!

Isu Adun Pas: Tindakan tatatertib akan dikenakan

A
A

PETALING JAYA – Semua persoalan mengenai kedudukan dua Adun Pas iaitu Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib hanya akan terjawab setelah tindakan tatatertib diputuskan ke atas mereka pada masa terdekat. Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, pihaknya tidak dapat membuat apa-apa kenyataan sebelum mesyuarat mengenai tindakan  ke atas dua Adun tersebut dibuat. “Mengenai mereka.. Saya tidak boleh buat penjelasan apa-apa untuk masa sekarang. “Kita akan panggil mereka ini untuk mesyuarat pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Hasnul yang menyatakan kesediaannya untuk bertanding atas tiket DAP dalam sebuah majlis semalam, Mustafa enggan mengulas lanjut. Semalam, Hasnul menyatakan kesediaannya untuk bertanding pada PRU akan datang atas tiket DAP. Berucap dalam sebuah majlis semalam, Hasnul menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan dan tindakan tatatertib yang bakal dikenakan oleh pimpinan Pas Pusat. "Segala kemungkinan yang saya kira akan saya hadapi, saya bersedia... “... tak kisah, saya tak jadi calon Pas pun tak apa, saya boleh jadi calon DAP,” katanya. Hasnul dan Saari dilaporkan bakal berdepan tindakan tatatertib kerana membelakangkan parti Pas dengan menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor. Tindakan dua Adun tersebut sekali gus menjadikan ia sebagai majoriti undi menentang kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hasnul ketika ditemui Sinar Harian Online berkata, dia dan Saari akan dipanggil oleh pimpinan Pas Pusat untuk tindakan lanjut menjelang minggu hadapan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!