X

Kindly register in order to view this article
!

Harakahdaily: Shahnon terima kerjasama politik Pas-DAP-PKR

A
A

SHAH ALAM - Susulan siri kenyataan Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dalam beberapa media sejak minggu lalu, antara lain dilaporkan mengecam kerjasama politik Pas-DAP, portal milik Pas pula mengetengahkan pendirian Sasterawan Negara itu semalam, memetik berkata beliau akan "istiqamah bersama dengan" parti itu. Shahnon, bekas Ahli Parliman Sik dan ahli seumur hidup Pas berkata, beliau yakn menerusi kerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, dapat melangkah ke Putrajaya. "Saya istiqamah bersama dengan Pas menerusi kepimpinan ulama,” kata beliau dipetik portal rasmi Pas, Harakahdaily. Portal itu berkata, Shahnon berkata demikian ketika ziarah mahabbah Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Dr. Khairuddin A. Razali ke rumah beliau di Minden, Gelugor, pagi semalam. "Saya istiqamah bersama dengan Pas menerusi kepimpinan ulama. Saya sangat yakin, insya-ALLAH menerusi tahaaluf siyaasi yang merupakan persefahaman bersama antara tiga parti; Pas, PKR dan DAP, kita bakal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang telah banyak melakukan kezaliman terhadap rakyat." Portal itu menyebut, beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia merujuk kepada artikelnya yang menjelaskan kenapa bersama Pas dalam buku tulisan bertajuk "Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi" yang dikeluarkan pada 2006 selepas beliau tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Sik. Artikel beliau bertajuk "Penglibatan Ku dalam Jema'ah Pas" dalam buku tersebut, menjelaskan secara terperinci sebab beliau bersama dengan Pas iaitu menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran. Kata portal itu, Shahnon turut melahirkan kebimbangan terhadap akhbar dan media perdana yang mempergunakan wawancara dengan beliau untuk menggambarkan seolah-olah beliau tidak lagi bersama dengan Pas. Katanya, selain Dr. Khairuddin, ziarah mahabbah tersebut juga diiringi oleh Timbalan Pesuruhjaya III Pas Pulau Pinang, Fauzi Yusof merangkap Timbalan Ketua Dewan Ulama Pulau Pinang. Minggu lalu, Bernama memetik Shahnon berkata, perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP. Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana ia sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam. Shahnon juga dipetik berkata, sangat menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam. "Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya. Beliau berkata, dasar Pas sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus