Hadi Awang
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pas negeri sama ada mahu menyertai atau tidak himpunan membantah keputusan PRU13 yang dikatakan tidak bersih. “Kita serahkan kepada pucuk pimpinan Pas negeri sama ada mahu menyertai atau tidak,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Dewan Ulama Pas yang tidak menyokong tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan himpunan di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU13. Ketuanya, Datuk Harun Taib dipetik sebagai berkata, semua pemimpin pakatan pembangkang perlu menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka kerana banyak kerusi yang ditandingi calon pakatan turut menang. Pada PRU13, BN memenangi 133 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan manakala pembangkang memperoleh 89 kerusi sekali gus menafikan cita-cita mereka untuk merampas Putrajaya. Bagaimanapun mereka mengekalkan kuasa di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang, tetapi kehilangan Kedah. Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menuding jari kepada masalah dalaman Pas sebagai punca kekalahan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah, Abdul Hadi berkata, 'no comment'. “Saya tidak mahu kata apa-apa tunggu dulu post-mortem nanti baru kita tahu puncanya,” katanya.


×