Ahmad Fadhli
A
A

KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan tetap dengan pendirian supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dikekalkan sebagai presiden parti itu biarpun terdapat desakan beliau tidak dicalonkan lagi ke jawatan itu pada muktamar akan datang. Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kepimpinan Abdul Hadi masih diperlukan memandangkan kemampuan dan keupayaan beliau untuk memimpin parti itu masih kuat, terutama dari aspek ilmu dan politik. “Saya menghormati pandangan lain dalam isu ini, namun pendirian dan pandangan agar presiden Pas dikekalkan Insya-ALLAH tidak akan berubah, kerana keyakinan yang kuat terhadap kemampuan beliau untuk terus menerajui parti. “Malah, gandingan beliau dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga ikon kepimpinan ulama dan pemimpin spiritual yang tertinggi dalam Majlis Syura Ulama Pas Pusat merupakan satu kombinasi yang cukup mantap,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, Pas perlu dilihat sebagai gerakan Islam selain sebuah parti politik. Justeru, memimpin (gerakan Islam) bukan sahaja memerlukan kebijaksanaan, malah kemahiran dan kefaqihan di dalam ilmu agama. “Ikon di dalam gerakan Islam ialah seorang pemimpin yang boleh dicontohi dari sudut ilmu dan praktikal, ia sangat penting dalam memperlihatkan wajah Pas sebagai sebuah gerakan Islam kerana inilah yang membezakan Pas dengan parti-parti lain di negara ini,” katanya. Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff mencadangkan Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai presiden untuk pemilihan 2015 hingga 2017 yang dijadualkan pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak menggantikan Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am Pas.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×