Lim Guan Eng
A
A

TAIPING - DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) minggu depan bagi membincangkan pengurniaan darjah dan bintang kebesaran yang diterima anggota parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penerimaan sebarang gelaran dalam kalangan wakil rakyat bukan matlamat utama selepas dipilih sebagai kerajaan.

Menurutnya, pada tahun pertama ini, tumpuan harus difokuskan untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyelamatkan ekonomi negara.

"Kalau tahun pertama gelaran ini diterima, ia akan beri satu persepsi lain (terhadap rakyat), ia tidak mencerminkan semangat perjuangan parti.

"Saya tidak mahu apa yang saya sebutkan ini sebagai tanda tidak hormat kepada mana-mana kerajaan negeri.

"Tetapi kita kena tunjuk dulu perkhidmatan kepada rakyat, lambat sedikit pun (terima gelaran) tidak mengapa kerana gelaran Yang Berhormat (YB) itu sudah cukup mulia untuk dibanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Perak yang dihadiri 1,303 perwakilan di Hotel Taiping Perdana, hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kula Segaran dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Semalam, dua wakil rakyat DAP Melaka iaitu Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Adun Bemban, Wong Fort Pin menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Minggu lalu pula, dua menteri DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Mengulas lanjut, Menteri Kewangan itu berkata, adalah tidak wajar ahli parti dari Sabah dan Melaka menerima gelaran itu sedangkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh pernah menolak pemakaian gelaran Datuk yang mereka terima.

Katanya, teguran seumpama itu perlu dibuat untuk memastikan DAP tidak menjadi parti politik yang hanyut seperti BN.

"Bila saya sebut begini, mungkin akan menyinggung perasaan ahli-ahli dan pemimpin tetapi saya rasa perkara ini juga akan disebut kalau Karpal Singh masih ada,” katanya.


×