X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir turun kempen untuk Anwar

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun padang berkempen untuk calon PRK Parlimen Port Dickson sekali gus menangkis andaian dan dakwaan mengatakan beliau tidak sehaluan dengan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau bersama pemimpin parti PH akan menghadiri satu majlis yang dijadualkan berlangsung pada 8 Oktober ini.

“Saya bersama pemimpin parti akan menghadiri majlis pada 8 Oktober di Port Dickson. Sebelum ini mereka cakap mengenai pertengkaran dengan Anwar. Kemudian mereka kata saya tak sokong Anwar sebab pertengkaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Albukhary, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir menegaskan beliau tidak akan berkempen dalam PRK Parlimen Port Dickson, namun akan memberikan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kebiasaannya beliau tidak turun dalam kempen PRK tetapi tetap memberikan sokongan kepada calon yang bertanding.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tak turun PD, tapi sokong Anwar]

Mengulas lanjut, beliau turut meminta pengundi luar untuk pulang membuang undi pada 13 Oktober ini.

“Kami berharap pengundi di luar akan pulang untuk mengundi tanpa melalui undi pos,” katanya.

Ditanya mengenai, dakwaan Anwar menggunakan kemudahan kerajaan dalam kempen PRK ketika menghadiri program bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada Rabu lalu.

“Ia bukannya majlis kerajaan, ia adalah majlis veteran tentera.  Ada menteri hadir, tetapi ia bukannya majlis kementerian,” katanya.  


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus