DAP Kedah mohon PKR segera bincang soal kerusi

Lee Guan Aik
A
A

ALOR SETAR - DAP mahu PKR segera bincang isu agihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana ia kini dikembalikan kepada Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) Kedah untuk diselesaikan.             Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, kepimpinan pusat mengarahkan supaya perbincangan diselesaikan di peringkat negeri.             “Agihan kerusi masih belum selesai. Saya tunggu Sekretariat PR Kedah atau PKR panggil untuk bincang. Perbincangan hanya libatkan pertindihan kerusi antara PKR-DAP tanpa membabitkan kerusi milik Pas yang sudah selesai,” katanya, pada sidang media hari ini.             Menurutnya, sejak awal lagi, DAP bersedia untuk berunding namun PKR dilihat sering berdolak-dalik hingga ia dirujuk kepada Pusat. Bagaimana pun, baru-baru ini, Pusat mengarahkan perkara itu lebih sesuai dibincang di peringkat negeri.             “Kita akan bangkitkan tuntutan sebelum ini supaya DAP diberi lebih kerusi bertanding, babitkan dua kawasan parlimen dan enam Dewan Undangan Negeri (Dun). Kita bukan mahu merayu tetapi ini hak DAP dalam PR,” katanya.   Sebelum ini, DAP menuntut supaya parti itu bertanding di dua kerusi parlimen dan enam kawasan Dun pada PRU13  melibatkan Parlimen Bagan Serai dan Alor Setar manakala enam Dun ialah Kota Darul Aman, Bakar Bata, Derga, Bakar Arang, Gurun dan Lunas.             Berdasarkan formula agihan 2008, Pas bertanding 24 kerusi manakala 12 lagi kerusi dibahagikan antara DAP dan PKR dengan 10 daripadanya diberi kepada PKR. DAP hanya di Kota Darul Aman dan Derga. Enam kawasan Dun yang dituntut DAP itu, lima kerusi berlaku pertindihan antara DAP dan PKR.             Guan Aik yang juga Adun Kota Darul Aman berharap perbincangan itu kelak menjurus kepada ‘win-win situation’ bagi mengelak pertandingan tiga penjuru antara PKR-DAP seperti PRU12 lalu (Dun Derga).             “Jika berulang, ia merugikan PR. Sekurang-kurangnya bagi tambahan kerusi kepada DAP berbanding kuota pada PRU12. Kita tidak minta kerusi di kawasan majoriti Melayu, hanya kawasan majoriti Cina atau campuran memadai,” katanya.                 Menurutnya, perbincangan itu kelak akan dibuat dalam suasana setiakawan PR, dan bukannya serius hingga boleh memecah-belahkan kesepakatan dalam PR.             “Saya cadangkan mana-mana kerusi sebelum ini ditandingi PKR tetapi kalah, boleh dibincangkan untuk diserahkan kepada DAP, jika bersesuaian,” katanya.             Ditanya sama ada jalan penyelesaian boleh dicapai menjelang pembubaran Parlimen yang belum diketahui tarikhnya, Guan Aik berkata, perkara itu akan diputuskan apabila tiba masanya.             “Saya percaya pasti ada jalan penyelesaian selepas bincang dalam Sekretariat PR Kedah. Sebab itu saya harap PKR segera adakan perbincangan sebelum Parlimen bubar,” katanya.             Pada sidang media sama, Guan Aik mengumumkan DAP Kedah akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 21 September, di Dewan Perhimpunan Cina Tanjung Bendahara, dirasmikan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.             “Sebanyak 11 cawangan layak menghantar wakil pada konvensyen ini, antaranya Taman Selasih (Selatan), Kuala Muda (Tengah) dan selebihnya Alor Setar. Bagaimana pun tiada pemilihan dibuat kerana ianya ditangguh ke tahun depan atas arahan Pusat,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×