Nga Kor Ming
A
A

IPOH - Pas didakwa mungkir janji terhadap persetujuan yang dicapai pada 28 September 2012 berkaitan pelaksanaan hukum hudud. Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, parti itu perlu merujuk Buku Jingga kerana pelaksanaan hudud tidak terdapat dalam polisi bersama PR. “Fokus kembali kepada Negara Berkebajikan yang disepakati adalah polisi wajib dalam Buku Jingga PR. “Negara Berkebajikan turut mementingkan kesejahteraan sejagat di mana ianya juga merupakan antara elemen yang terkandung dalam ajaran Islam,” katanya ketika dihubungi, semalam. Kor Ming berkata, DAP menentang pelaksanaan hudud kerana hukuman tersebut bercanggah dengan undang-undang yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. “Malah Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan bahawa undang-undang jenayah tertakluk dan mengikut Kanun Keseksaan,” katanya. Beliau berkata, hudud juga sukar dilaksanakan di Malaysia berikutan memerlukan pindaan Perlembagaan berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat. “Persetujuan dan sokongan ahli Parlimen itu akan menentukan pindaan tersebut namun mereka perlu fikir, adakah BN akan menyokong?” katanya. Mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menggesa DAP keluar PR sekiranya tidak berpuas hati dengan Pas, Kor Ming berkata, luahan itu lebih bersifat peribadi dan tidak mewakili parti. “Itu hanya ucapan seorang pemimpin dan kami rasa tidak terganggu selain akan terus komited dengan perjuangan PR menumbangkan BN,” katanya.    Selain itu, beliau berkata, pihaknya percaya polemik berkaitan hudud akan dapat ditangani sekiranya semua parti dalam PR menggunakan saluran yang betul dalam mengetengahkan rasa tidak puas hati.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×