X

Kindly register in order to view this article
!

Dana kes saman fitnah dari poket ahli Pas

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Pas merupakan penyumbang utama dana bagi kes saman fitnah presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap ahli diwajibkan memberi sumbangan dalam program dianjurkan parti.

"Jangan takut kita dapat dana dari mana, yang pasti bukan dari Umno. Kita dah isytihar dalam program kita, ahli Pas wajib memberi sumbangan sebanyak RM5.

"Dalam setiap program kita lancar tabung, jadi duit saman adalah dari poket ahli Pas," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Rewcastle-Brown mempersoalkan sumber dana yang diperoleh Abdul Hadi bagi mengambil tindakan undang-undang terhadapnya di London.

Ini kerana, menurut Rewcastle-Brown, kos bagi pembiayaan guaman di United Kingdom adalah sangat tinggi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sumbangan daripada ahli Pas merupakan tanggungjawab dan kecintaan mereka terhadap parti.

"Ia juga sebagai tanda kemarahan terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Presiden Pas," katanya.

April lalu, Abdul Hadi memfailkan prosiding fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London dan telah menyerahkan saman itu.

Saman itu bertujuan mendapatkan ganti rugi dan perintah injunksi berikutan penyiaran satu artikel dalam portal Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many other Criminal Connections – COMMENT”.

Artikel itu dikatakan telah mendakwa Abdul Hadi mendapat dana daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!