Belum tetapkan kerjasama dengan pembangkang

Shafie Apdal - Foto Sinar Harian Oleh AFIQ RAZALI
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin oleh bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal masih belum menetapkan sebarang kerjasama dengan pembangkang buat masa ini.

Menurut Shafie, fokus utama Warisan adalah untuk menumpukan perhatian bagi menumbangkan Umno - BN menjelang Pilihan Raya Umum 14 akan datang.

"Kita tengok macam mana (kerjasama) kerana fokus buat masa ini adalah untuk menumbangkan Umno - BN.

"Kita akan tengok macam mana berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Parti Warisan Sabah telah menerima kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan menggunakan nama singkatan Warisan.

Sehubungan itu, Shafie memaklumkan bahawa beliau amat berpuas hati dengan ROS yang telah memberi kelulusan kepada kepada parti baru di Sabah tersebut.

"Saya ingin jelaskan sekalai lagi yang ini bukan parti baru cuma terdapat pindaan nama dan bentuk logo," katanya.

Dalam pada itu, Shafie memaklumkan bahawa bekas Ketua PKR Sabah, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin tidak akan menyertai Warisan memandangkan beliau bakal menubuhkan sebuah parti baru selepas ini.

Menyentuh mengenai kerjasama dengan parti lain di Sabah, Shafie berkata pihaknya belum menetapkan mengenai hal tersebut dan apa yang penting adalah bagi menundukkan Umno - BN.

"Sesiapa yang mempunyai matlamat sama dengan Warisan, why not," katanya.  


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×