Azmin Ali
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan rasa terkejut apabila beliau diminta meninggalkan Sarawak pada 2 Mei ini dan tidak dibenarkan masuk semula sehingga hari mengundi pada 7 Mei ini.

Memetik portal The Borneo Post semalam, Azmin dimaklumkan perkara itu secara rasmi oleh pegawai Jabatan Imigresen ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak, semalam.

“Mereka cop pada nota yang saya perlu meninggalkan Sarawak pada 2 Mei dan tidak akan membenarkan saya untuk kembali sehingga hari mengundi.

“Ini adalah terang-terangan mengabaikan undang-undang,” katanya semasa tinjauan mesra di Satok, Kuching, Sarawak, semalam.

Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor, turut berkongsi perkara itu di akaun Facebooknya semalam, dengan memuat naik sekeping gambar nota pemberitahuan itu, sambil mempersoalkan arahan siapa di sebalik Imigresen Sarawak.

Dalam posting berasingan, Azmin berkata, walaupun tempoh beliau di Sarawak dipendekkan, namun ia tidak menghalangnya memahami suara hati pengundi dan berkongsi visi parti pembangkang itu untuk perubahan.

Mengulas lanjut, Azmin berharap, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem akan mengotakan janjinya membawa pembaharuan kepada negeri itu dan membenarkan pemimpin pembangkang memasuki negeri itu semasa musim pilihan raya.

“Ini adalah masa di mana semua pemimpin politik harus dibenarkan datang menyatakan kebimbangan kami dan berkongsi sentimen dengan rakyat Sarawak,” katanya.

 


×