X

Kindly register in order to view this article
!

Azmin hantar surat rasmi bertemu SPR

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi menegaskan kerajaan negeri tidak akan mengadakan pilihan raya lebih awal meskipun menerima desakan daripada DAP.

Beliau sebaliknya akan mengemukakan surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini untuk mengadakan pertemuan bagi mendapatkan maklumat berhubung asas usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat.

"Jika gagal adakan pertemuan dalam tempoh 48 jam, saya dan kerajaan negeri minta supaya SPR beri penjelasan secara bertulis berhubung perkara tersebut, jika tidak kita akan teruskan dengan tindakan undang-undang yang sedang diteliti oleh pihak peguam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Selangor, hari ini.

Sebuah portal berita propembangkang hari ini melaporkan DAP Selangor menuntut supaya pilihan raya negeri diadakan lebih awal sebelum SPR menyelesaikan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar parti itu malam tadi.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut menyatakan adalah satu tindakan yang kurang bijak jika mengadakan pilihan raya selepas persempadanan semula selesai.

Mengulas kenyataan itu, Mohamed Azmin, yang juga timbalan presiden PKR berkata, ia adalah pandangan peribadi Tony.   

"Itu pandangan dia (Tony). Malam tadi biro politik PKR bincangkan perkara ini dan mereka merasakan kita harus meneliti semua opsyen yang ada untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini juga ambil maklum tentang keperluan kita untuk fokus terhadap tindakan undang-undang dan tidak bersetuju untuk adakan pilihan raya buat masa ini," katanya.

Isnin lepas, Mohamed Azmin menolak cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal dengan berkata kerajaan negeri tidak mahu mengkhianati mandat yang diberikan rakyat Selangor kepada pakatan pembangkang pada PRU lepas.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Semua pihak diberikan masa sebulan sehingga 14 Oktober untuk mengemukakan bantahan masing-masing. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!