X

Kindly register in order to view this article
!

Nazri Ahmad
Nazri Ahmad
A
A

ROMPIN – “Apa muslihat Husam sebenarnya?” Demikian soal Ketua Penerangan Pas Pahang, Nazri Ahmad terhadap pendedahan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang kononnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Menurutnya, isu di Selangor itu telah pun selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sewaktu ia sedang hangat diperkatakan, Presiden Pas sendiri telah memberikan penjelasan berkaitannya bagi menjernihkan segala kekeruhan yang timbul.

“Saya memang hairan dengan tindakan Husam yang membuat pendedahan sedemikian sedangkan isu melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor itu telah pun selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

“Berdasarkan penjelasan Tok Guru Presiden pula, beliau bukan tawar untuk bentuk kerajaan dengan cara bergabung dengan Umno sebaliknya ia disebut secara umum iaitu tawaran kepada sesiapa yang mahu bersama dengan Pas pada ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian Online 6 November lalu melaporkan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sekali lagi ‘menyerang’ partinya apabila mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Pendedahan itu dibuat melalui sedutan video rakaman ceramah di Pasar Kedai Mulong, Kota Bharu yang dikongsi di Facebooknya yang seterusnya menjadi viral dan mendapat pelbagai komen dan kritikan daripada netizen.

Dalam pada itu, Nazri yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin itu turut mempersoalkan tindakan Husam yang seolah-olah bertujuan menimbulkan keraguan di kalangan ahli dan kepimpinan Pas pasca muktamar kepada presiden parti.

Beliau turut menyarankan kepada Husam supaya memberikan fokus untuk bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan Kelantan masa ini dalam membangunkan negeri termasuk menyelesaikan beberapa projek yang telah bermula sewaktu beliau memegang jawatan Exco negeri.

“Jika ada apa-apa berkaitan parti dan kalau ia benar, maka gunakanlah saluran dalaman parti yang ada untuk melakukan teguran kepada pihak berkenaan. Tidak perlu saya mengajar cara menggunakan saluran itu kerana Husam merupakan orang lama,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!