Politik, kewartawanan dan wanita warnai kehidupan Aishah Ghani

Aishah Ghani
A
A

KUALA LUMPUR - "Doa saya untuk Tan Sri Aishah Ghani - bekas ketua Wanita Umno dan menteri kabinet", demikian status seorang wartawan kanan dalam laman Facebook semalam, dan hari ini negara menerima berita sedih pemergian Aishah, akibat sakit tua di Hospital Gleneagles di sini.     Allahyarham berusia 90 tahun.     Beliau juga seorang wartawan - pada mulanya di Pelita Malaya, lidah rasmi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan kemudian Berita Harian.     Tujuan beliau menulis untuk Pelita Malaya ialah bagi menggalakkan wanita menyertai politik selain menyedarkan mereka tentang kemerdekaan.     Dilahirkan pada 1923 di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat di Selangor, wanita bersemangat waja ini melalui kehidupan penuh berwarna-warni berikutan penglibatan meluasnya dalam bidang kewartawanan, politik serta perjuangan untuk golongan wanita.     Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Arab Diniah Puteri, Sumatera dari 1936 hingga 1939 diikuti Kolej Latihan Guru Tinggi, Padang pada 1940, apabila beliau mula mengenali dunia politik berikutan Malaya ketika itu dijajah.     Sekembalinya ke tanah air pada 1943, Aishah merasa betapa pahitnya penindasan Jepun yang ketika itu berkuasa di Malaya dan bertekad mendapatkan kemerdekaan tanah air dengan menyertai PKMM yang ditubuhkan pada akhir 1945. Walaupun diangkat menjadi Ketua Pertama Angkatan Wanita Sedar PKMM, Aishah meninggalkan PKMM selepas beberapa bulan kerana tidak bersetuju dengan konsep Gagasan Melayu Raya yang diperjuangkan parti itu.     Beliau kemudian mendirikan rumahtangga dengan Abdul Aziz Abu Hassan dan mencipta sejarah apabila ditawarkan menjadi juruhebah wanita pertama di Radio Malaya, yang baru dibuka.     Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Datuk Astamam, Zarim, Shairudin dan Mariati.     Tekad mendapatkan kemerdekaan negara tidak pernah padam dan beliau kembali aktif dalam politik dengan menyertai cawangan Umno Pasar Pudu sebelum menganggotai cawangan Umno Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1949.     Kelantangan dan keberaniannya dalam memperjuang isu wanita membolehkan Aishah dipilih menjadi wakil tetap Kaum Ibu Umno pada persidangan agung Umno Malaya Pulau Pinang pada 1950 dan beliau menyandang jawatan itu hingga 1954. Namun, beliau masih mahu mendalami bidang kewartawanan dan politik. Untuk itu, beliau menyambung pengajiannya ke Regent Street Polytechnic di England pada April 1955.     Sekembalinya ke tanah air pada 1959, beliau cergas semula dalam Umno Bahagian Kuala Lumpur selain menjadi wartawan Berita Harian.     Pada pilihan raya umum pertama 1959, Aishah bertanding di kawasan Parlimen Setapak sebagai calon Perikatan namun tewas.     Kegagalan itu tidak menghalang Aishah terus aktif dalam Umno dan pada 1960, beliau dipilih menjadi Naib Pergerakan Kaum Ibu Umno Malaya.     Beliau sekali lagi mencatat sejarah apabila dilantik menjadi senator wanita pertama di Dewan Negara pada 1962. Berikutan itu, beliau meletakkan jawatannya di Berita Harian apabila dipilih menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno pada 1963 dan bergiat aktif memperjuang hak dan kebajikan wanita termasuk dalam bidang pendidikan, ekonomi dan politik.     Dalam tempoh itu, beliau juga mewakili Malaysia sebagai wanita pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).     Dari 1967 hingga 1972, Aishah menjadi wakil Malaysia ke Persidangan Suruhanjaya Taraf Wanita PBB.     Beliau juga menyandang jawatan Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Negeri Selangor antara tahun 1960 hingga 1972.     Selepas 12 tahun dipilih memegang jawatan Naib Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, Aishah dipilih sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno pada mesyuarat perwakilan Wanita Umno 1972. Ketokohan Aishah terus digilap apabila menjadi wanita kedua dilantik sebagai menteri kebajikan Am pada Mac 1973, menggantikan Allahyarham Tun Fatimah Hashim. Beliau menjadi menteri kabinet selama 11 tahun sehingga 1984.     Semasa menyandang jawatan itu, beliau berpeluang merealisasikan penubuhan Yayasan Kebajikan Negara, Institut Pemulihan Untuk Cacat Anggota di Bangi selain mewujudkan Undang-undang Keluarga Islam yang seragam.     Pada tahun 1985, beliau dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sehingga 1997, dilantik menjadi Anggota Jawatankuasa Yayasan Tun Abdul Razak serta Pengerusi Pusat Perlindungan Wanita Darsaadah.     Perjuangan beliau memartabat dan melindungi hak-hak wanita dalam negara juga dijayakan dengan menubuhkan PERTIWI, yang khusus memperjuang wanita Islam pada 1967, Pengerusi Pusat Bantuan Wanita dan Pengerusi Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad sejak penubuhannya pada 1975.     Selain itu, beliau pernah dipilih menjadi wakil Malaysia dalam Jawatankuasa Perpaduan Golongan Afro-Asia di Algiers, Algeria, wakil Malaysia di Seminar Wanita Asia di Berlin dan wakil Malaysia di Suruhanjaya Persidangan Status Wanita di PBB.     Sumbangan dan jasanya turut dihargai apabila dinamakan sebagai Tokoh Wanita Negeri Selangor 1996, Tokoh Warga Emas Selangor 2002, Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1423 Hijrah/2002, menerima Anugerah Pejuang Kemerdekaan Selangor dan Anugerah Mutiara Pertiwi daripada Puteri Umno.     Aishah turut menghasilkan autobiografinya bertajuk 'Aishah Ghani Memoir Seorang Pejuang' pada 1992. - Bernama


×