Antara ikan layaran yang berjaya ditangkap oleh kumpulan Xzoga Team. Juara Royal Pahang Billfish International Challenge 2013 ini berjaya mengumpul 15,000 mata dan menangkap 25 ekor ikan layaran.
A
A

ROMPIN – Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai kesedaran dan memahat semangat di sanubari untuk bersama menjaga alam semula jadi di darat serta lautan agar ia berkekalan bagi generasi seterusnya. Kerja melakukan pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alam ini mesti dipastikan sentiasa diambil berat oleh pihak bertanggungjawab dan masyarakat secara amnya. Adun Muadzam Shah, Datuk Maznah Mazlan, berkata, harap pukat tunda dapat dipantau dan sebarang undang-undang yang berkaitan dapat dikuatkuasakan bagi menjamin kelangsungan produk pelancongan memancing ikan berparuh. “Hari ini (kelmarin) saya pergi memancing bersama dengan peserta dan saya melihat ada bot pukat tunda berlegar di kawasan pantai. “Saya sangat bimbang kerana bot jenis ini boleh menangkap ikan dalam sekala yang besar hingga tiada satu ikan pun yang terlepas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah bagi pemenang Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2013 yang diadakan di Lanjut Golden Beach Resort, malam kelmarin. RPBIC 2013 dimenangi oleh kumpulan Xzoga Team dari Malaysia dengan meraih mata berjumlah 15,000 dan berjaya menangkap 25 ekor ikan layaran serta menerima hadiah wang tunai berjumlah RM15,000. Hadir bagi menyempurnakan majlis dan menyampaikan hadiah ialah Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin dan turut hadir sama Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia berkata, konsep tangkap dan lepas yang diamalkan dalam pertandingan ini adalah bagi mengelakkan ikan jenis ini terancam. Dalam pada itu, saya juga menggesa pihak berkuasa memainkan peranan kerana ada laporan mengenai ikan jenis layaran ini ditangkap untuk dibuat keropok dan ada juga restoran yang menawarkan menu istimewa berasaskannya. “Peserta yang datang menyertai pertandingan ini adalah kerana mahu menikmati sukan rekreasi menangkap ikan dengan cara memancing dan puas dengan pencapaian mereka yang dinilai dari segi saiz serta jumlah tangkapan. “Orang tempatan harus mengambil kesempatan dalam bersama membangunkan kawasan ini dengan menyediakan kemudahan seperti khidmat bot sewa dan peralatan memancing yang lain,” katanya. Maznah berkata, harapan besar agar acara sukan memancing seperti ini akan menjadi acara sepanjang tahun dan bukan acara bermusim.


×