X

Kindly register in order to view this article
!

Lima teras utama dalam manifesto Pakatan Harapan

Antara kepimpinan Pakatan Harapan ketika Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan dengan tema Membina Negara Memenuhi Harapan.
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan melancarkan manifesto PRU14, di Ideal Convention Centre (IDCC), malam tadi.

Pelancaran manifesto bertemakan 'Membina Negara Memenuhi Harapan' tersebut dianggap bersejarah kerana buat pertama kalinya menggabungkan empat parti dari PKR, Bersatu, Amanah dan DAP.

Ia turut menggariskan lima teras utama,  iaitu meringankan beban kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran dan politik, merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 dan membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Selain itu ia turut memberi perhatian kepada 10 janji dalam tempoh 100 hari, 60 janji dalam tempoh lima tahun dan lima iltizam khusus.

Antara 10 janji tersebut termasuklah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), subsidi petrol bersasar, hapus hutang peneroka Felda, KWSP untuk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum, menangguhkan bayaran PTPTN, menyiasat skandal, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, Skim Peduli Sihat dan kaji semula projek mega.

Manifesto tersebut turut menumpukan  lima iltizam khusus iaitu isu Felda, hak saksama terhadap masyarakat India, kebajikan wanita, mengasah bakat dan mencipta peluang anak muda serta mengiktiraf jasa dan pengorbanan warga emas.

Dalam majlis tersebut, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail turut melengkapkan 'puzzle' Buku Harapan sebagai gimik pelancaran buku manifesto tersebut.

Turut hadir barisan kepimpinan dari kesemua parti Pakatan Harapan iaitu termasuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tarikh pelancaran manifesto juga turut  disifatkan mempunyai makna besar kepada Pakatan Harapan apabila tarikh sama pada 2008 telah menyaksikan peralihan negeri di Selangor dan Pulau Pinang.

Terdahulu dalam majlis sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melancarkan tabung dana pilihan raya Pakatan Harapan bagi persediaan PRU14.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus