Larangan ke atas Mat Sabu bukti BN takut

Mohamad Sabu
A
A

SHAH ALAM - PKR menyifatkan tindakan kerajaan yang mengenakan sekatan ke atas Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu daripada memasuki Sarawak, hari ini sebagai bukti BN takut kepada pembangkang.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu sebagai suatu usaha terdesak kerajaan.

"Difahamkan beliau telah tiba di Lapangan Terbang Sibu tetapi pihak Imigresen tidak membenarkan beliau memasuki Sarawak. Beliau kini dalam perjalanan balik ke Semenanjung.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mat Sabu dihalang masuk Sarawak]

"Tindakan menghalang pimpinan Pakatan Harapan dari bertemu rakyat Sarawak satu tindakan terdesak yang amat dikesali," katanya.

Hari ini, Sekretariat komunikasi Amanah Presiden Amanah memaklumkan Mohamad Sabu dihalang memasuki Sarawak dengan mendakwa ia atas arahan Pejabat Ketua Menteri.

Fahmi juga berkata, BN di Sarawak bawah pimpinan Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem perlu menamatkan dasar menghalang warga Malaysia yang berlainan pandang politik dari memasuki Sarawak demi demokrasi yang lebih matang dan Malaysia yang lebih baik.

"Ini bukti mereka cukup takut pada musuh politik seperti Pakatan Harapan sehinggakan kehadiran pimpinan seperti Zuraida Kamaruddin, Nurul Izzah, Tony Pua, Teresa Kok, Mazlan Aliman dianggap satu ancaman politik.

"Di dalam demokrasi yang maju dan progresif, musuh politik perlu diserang melalui idea dan perbahasan, bukan diserang dengan halangan pentadbiran seperti yang berlaku sekarang," katanya.


×