X

Kindly register in order to view this article
!

Kit Siang: Kenyataan Hadi menjengkelkan

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A

GELANG PATAH - Pemimpin PR perlu duduk berbincang sekiranya Pas tidak yakin pakatan itu akan mencapai kejayaan besar jika sistem pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan di seluruh negara. Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, ketidakyakinan Pas bukan petanda baik bagi rancangan PR menuju Putrajaya menjelang PRU14. Menurutnya, kenyataan penuh kontroversi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai isu itu baru-baru ini, bermakna Abdul Hadi tidak optimis terhadap peluang Pas jika pilihan raya PBT dijalankan. "Kejayaan pilihan raya PBT di negara-negara lain selalunya menjadi pelopor kejayaan di peringkat nasional, seperti yang dibuktikan dalam pelantikan Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia, selepas berjaya dalam pilihan raya tempatan dan membuktikan prestasinya sebagai Gabenor Jakarta. "(Selain itu), Mahmoud Ahmadinejad dan Recep Tayyip Erdogan masing-masing merupakan Datuk Bandar Tehran dan Istanbul sebelum menjadi Presiden Iran dan Turki," katanya dalam kenyataan dikeluarkan, semalam. "Inilah persoalan yang menjengkelkan saya satu dua hari ini, kenapa (Abdul Hadi) tidak yakin Pas boleh cemerlang dalam pilihan raya PBT sekiranya undi ketiga itu  dikembalikan," katanya. Menurutnya, komposisi etnik PBT juga telah berubah secara signifikan sepanjang beberapa dekad lalu hasil daripada proses urbanisasi Melayu. Kit Siang berkata, peratus populasi Melayu di bandar di Semenanjung bertambah daripada 21 peratus pada 1957 kepada 48.3 peratus pada 2000. Dalam masa sama, peratus populasi Cina di kawasan bandar pula menurun daripada 62 peratus pada 1957 menjadi 34.8 peratus pada 2000. "Dari mana datangnya dakwaan Cina cuba merampas kuasa politik jika pilihan raya PBT dikembalikan?," katanya. Beliau berkata, menurut bancian 2010, terdapat 148 PBT di Malaysia yang terdiri daripada tiga Dewan Bandaraya, sembilan Majlis Bandaraya, 37 Majlis  Perbandaran dan 99 Majlis Daerah. "Sekiranya PR serius mahu menawan Putrajaya pada PRU14, PR mesti mempunyai keyakinan mendapatkan majoriti 148 PBT jika pilihan raya kerajaan tempatan, atau undi ketiga dikembalikan," katanya. 


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!