X

Kindly register in order to view this article
!

A
A

KOTA BHARU - Penghijrahan bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar kepada PKR undang pelbagai persepsi, termasuk  timbulnya status kerusi Parlimen Tumpat disandangnya kini. Adakah Pas Kelantan bersedia beri peluang kepada PKR khususnya Kamaruddin  mempertahankan kerusi itu  pada PRU14  yang disandangnya sejak 1999. Jelas tindakan PKR yang menerima penyertaan Kamaruddin, sebelum ini diura-ura memperkuatkan kepimpinan Parti Amanah Negara sedikit sebanyak  menjejaskan hubungan dua parti itu. PKR Kelantan dikatakan berhati-hati dengan sebarang kenyataannya berhubung isu itu kerana menjaga hubungan dalaman khususnya bagi menjaga status quo parti itu dalam kerusi diperolehi  pada  PRU14 nanti. Bagaimanapun, kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini, sudah menjelaskan ketegasan kerusi Tumpat  menjadi tradisi milik Pas. Timbalan Menteri Besar itu berkata, Pas tidak menyerahkan sewenang-wenangnya kerusi itu walaupun tindakan Kamaruddin sertai  PKR. “Kerusi Tumpat itu kerusi kita, dia (Kamaruddin) bawa lari kerusi itu apabila sertai PKR, mana-mana kerusi milik kita, kita akan kekalkan dan tiada keperluan untuk tukar. “Tunggu sehingga pilihan raya umum nanti atau dia letak jawatan, kita akan ambil alih balik tetapi setakat ini tidak ada mana-mana wakil rakyat yang lompat parti meletakkan lawatan,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri, Selasa lalu. Katanya, tidak timbul soal  mahu ambil balik kerusi itu pada PRU14  memandangkan Parlimen Tumpat milik Pas. Dalam pada itu, mengulas isu sama, PKR Kelantan beranggapan masih terlalu awal bercakap mengenai kedudukan kerusi Tumpat, Pengerusi PKR  negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, sebagaimana kebiasaannya perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa rundingan kerusi untuk membuat keputusan. “Sebelum pilihan raya, rutinnya jawatankuasa rundingan akan berbincang kedudukan kerusi antara parti. Jika kita masih bersama dalam PR biarlah ia diputuskan menerusi rundingan nanti. “Kita hormati suara hati pimpinan Pas dalam soal ini Dalam keadaan sekarang,  itu hak mereka berkata-kata selepas Kamaruddin sertai PKR,” katanya. Biarpun tempoh PRU14 masih jauh, PKR Kelantan nampak berlembut dengan Pas apabila Ab Aziz menyuarakan pandangan jika kawasan itu berpotensi dimenangi parti tersebut lebih baik ia terus dipegang oleh Pas. “Apa pun pilihan raya masih lambat, banyak masa untuk berbincang. Apa-apa keputusan saya yakin akan bergantung keadaan semasa,  bagaimanapun saya hargai kerjasama dan peluang diberikan kepada PKR untuk bertanding di Kelantan selama ini,” katanya. Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di peringkat akar umbi mendapati masih ada  menyatakan sokongan individu kepada Kamaruddin  dan tidak kurang mahu Pas meletakkan calonnya sendiri. Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Kawasan Tumpat, Azhar Ibrahim berkata, tindakan Kamaruddin sertai PKR perkara biasa dalam situasi politik Malaysia kini. Tetapi katanya, pelbagai kemungkinan akan berlaku pada PRU14 kesan tindakan Kamaruddin sertai PKR. “Mungkin penyokong setia parti Pas tidak akan menyokong beliau lagi kerana menganggap beliau telah mengkhianati parti, tetapi bagi penyokong setianya, tetap akan undi dia walau pun dia sertai PKR,” katanya. Bagaimanapun, pendirian Azhar berbeza kerana dia akan menyokong Pas sekiranya Pas sertai Pakatan 2.0 tetapi sekiranya Pas berdegil tidak mahu sertai Pakatan 2.0 itu, dia akan menyokong PKR. Katanya lagi, ketiadaan Kamaruddin itu memberi ruang kepada Pas melantik calon baharu lebih baik dan mungkin boleh berkhidmat 24 jam kepada rakyat Tumpat. Seorang lagi penduduk, Roslan Ismail berkata, walau pun Kamarudin sertai PKR, dia berharap wakil rakyat itu tetap seperti dulu cakna  rakyat Parlimen Tumpat. “Soal siapa yang akan saya pilih nanti pada PRU14 sukar untuk dijawab, tetapi saya akan undi calon yang boleh bekerja untuk rakyat. “Tidak kiralah dari parti mana sekali pun sama ada parti Pas, PKR atau pun mana parti sekali pun,” katanya.

Seorang peniaga, Haslinda Mohamad, 42, berkata, dia sukar membuat pilihan parti mana terbaik pada PRU14. Katanya, meskipun rakyat Tumpat memilih Kamaruddin sebagai wakil rakyat mereka sejak 1999 lagi, tetapi pilihanraya akan datang,  sokongan rakyat akan berbelah bagi kerana beliau telah sertai PKR. “Saya yakin akan ada desakan calon Pas bertanding di sini kerana PKR tidak dapat diterima oleh rakyat Tumpat. “Lagi pun parlimen Tumpat sudah serasi dengan Pas yang dimenangi selama empat penggal,” katanya. Manakala pengundi Parlimen Tumpat, Che Abdul Aziz idris, 57, berkata, Parlimen Tumpat sudah begitu serasi dengan parti Pas dan sukar  Kamaruddin memenangi atas tiket PKR sekiranya dia bertanding di sini. Menurutnya, jika PKR bertemu dengan BN dalam pilihanraya akan datang besar kemungkinan BN dapat merampas kerusi Parlimen Tumpat di sini. “Tetapi sekiranya ada pertandingan tiga penjuru melibatkan PKR, BN dan Pas, saya yakin Pas akan menang dengan mudah," katanya. Pada PRU13, Kamaruddin menewaskan calon BN Mansor Salleh dengan majoriti 10,624 undi. Kamaruddin memperoleh 46,151 manakala Mansor 35,527.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!