Kelayakan Jamal masih jadi tanda tanya

A
A

KUALA LUMPUR -  Kelayakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk bertanding dalam pemilihan Umno masih menjadi tanda tanya.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam sidang media hari ini mengelak daripada menjawab isu kelayakan Jamal yang kini menjadi buruan polis.

Katanya, semua orang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

"Dia (Jamal) belum didakwa dan dijatuhkan hukuman," katanya dalam sidang media pemilihan Umno hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

 

Walaupun masih menjadi buruan polis, Jamal menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.


×