Tuan Sabariah Tuan Ishak
A
A

KOTA BHARU - Tuan Sabariah Tuan Ishak mengakui keluarganya mengalami sedikit kekalutan ekoran tindakan anaknya, Nik Omar Nik Abdul Aziz menjadi calon Pakatan Harapan di Dun Chempaka.

Berucap di satu majlis ceramah Pas di Taman Bendahara di Dun Chempaka, isteri kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dilihat sebak apabila membicarakan isu yang melanda keluarganya.

Beliau bagaimanapun meminta masyarakat agar terus mengekal kerusi Dun Chempaka  kepada Pas sebagaimana parti yang disertai oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz.

"Ambo tuhan uji banyak perkara, cuma ambo tidak turut hok lain, ambo kekalkan hok ni jugak,  Tok Guru  dah pesan, tak  ada dah (parti lain), Pas parti yang  terbaik.

"Sebab kalau nak memerintah takkan baik tanpa  Islam, sepanjang hidup dengannya, ambo ingat Tok Guru pesan,  tidak kisah orang nak kata  apa atau mari nak gaya (berkempen) ambo takkan lari.

"Sekarang (kita akui) keluarga pecah sikit, tidak banyak, anak  sepuluh orang, seorang sahaja yang ponteng,"katanya ketika dipetik dalam laman Facebook Muslimat Pas Pengkalan Chepa.

Tuan Sabariah berkata, walaupun banyak pihak yang menggelar mereka parti Islam, beliau menegaskan hanya Pas sahaja parti benar- benar melaksanakan Islam sepenuhnya.

"Kita kena berhati-hati, kita nak kekal yang Tok Guru pegang selama 25 tahun,  nak susuh kekal, jangan kelabu mata, banyak (parti) mengaku Islam, Islam itu satu sahaja," katanya.

Beliau dalam masa turut hairan dengan sikap pimpinan Umno yang berani yang hadir ke rumahnya semata-mata untuk berkempen menyokong parti tersebut.

Beliau menyifatkan tindakan itu hanya buang masa kerana beliau tidak sesekali lari dari pejuangan Pas.

"Mereka datang ke rumah,  berkempen banyak tolong orang, mereka berani, saya rasa mereka datang tak kena tempat, kalau pergi tempat  lain banyak mana dah boleh undi," katanya.


×