X

Kindly register in order to view this article
!

CEO FGV digantung, Shahrir perlu campur tangan: PKR

Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
A
A

SHAH ALAM – Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad perlu campur tangan berhubung penggantungan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, campur tangan itu akan dapat meredakan keadaan yang berlaku.

“Saya harap beliau dapat dikekalkan sementara segala isu disiasat dengan lebih lanjut.

“Saya memandang serius berita penggantungan Zakaria atas alasan ada bayaran tertentu kepada syarikat yang berurus niaga dengan FGV,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Zakaria dilihat mempunyai beberapa pandangan berbeza dengan pengurusan tertinggi dalam beberapa isu besar, termasuklah urusniaga melibatkan pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations di Indonesia.

“Saya mengikuti dengan dekat beberapa cadangan terkini yang mengheret FGV untuk terlibat di dalam urusniaga dengan Tan Sri Peter Sondakh (pemilik PT Eagle High Plantations).

“Sehingga kini tidak ada kepastian sama ada perkara ini akan diteruskan. Saya juga mendapat maklumat ada beberapa projek yang melibatkan suntikan dana beratus juta ringgit ke syarikat luar negara yang menjadi perbezaan pendapat,” katanya.

Jelasnya, Zakaria merupakan tokoh korporat daripada generasi kedua Felda.

“Beliau juga berjaya memimpin FGV menunjukkan sedikit peningkatan kebelakangan ini. Saya kurang mengeluarkan kenyataan mengenai FGV kebelakangan ini kerana mahu memantau bahawa FGV boleh lebih maju di bawah kepimpinan beliau.

“Oleh itu, berita penggantungan jawatan beliau oleh Isa diselubungi banyak isu yang perlu diselidik dan disiasat dengan lebih jelas,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan ke atas CEO FGV libatkan jutaan ringgit]

Terdahulu, FGV memaklumkan kepada Bursa Malaysia, Zakaria akan bercuti sementara menunggu hasil siasatan pelbagai urus niaga yang dijalankan oleh anak syarikatnya,  Delima Oil Products Sdn Bhd.

Siasatan SPRM ke atas Zakaria melibatkan jutaan ringgit.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zakaria luah perasan di laman Twitter]

Dalam pada itu, Zakaria memerusi akaun tweeeternya berkata, arahan seumpama itu tidak pernah berlaku dalam organisasi Felda.

"Berita hari ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Felda dan FGV. Kebenaran akan menjelma akhirnya.

"Kepada rakan sekerja FGV dan warga Felda, Saya mohon maaf kerana terpaksa meninggalkan pejabat secara tiba-tiba, saya tidak berkesempatan bertemu anda semua," katanya dalam catatan beliau di laman Twitter.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus