'Ini bukan program realiti'

Safirul Azli Abu Bakar
Safirul Azli Abu Bakar
A
A
A

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berharap kelab dari Belgium, KV Kortrijk boleh mengawal penyiaran sebarang kandungan yang bukan berkaitan bola sepak mengenai penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin di laman sosial milik mereka.

Menurutnya, sebagai individu yang mengenali Luqman, Safirul percaya pemain muda itu merasai tekanan terutama apabila sering diberikan tumpuan dalam media sosial.

“Saya takkan buka mulut kalau Luqman tak cakap apa-apa. Saya berinteraksi dengan dia setiap hari. Dia cakap nak berlari pun nak kena senyum tengok kamera.

“Luqman bukanlah mengeluh, tetapi saya secara peribadi tahu dia sebagai pemain muda sedikit sebanyak merasai tekanan itu.

“Bagi saya janganlah terlalu banyak beri tumpuan kepada Luqman. Biarkan dia berlatih dan fokus di sana,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, kata Safirul, tiada masalah sekiranya pihak Kortrijk menyiarkan mengenai jaringan ataupun persembahannya di atas padang, tetapi bukan mengenai aktiviti di luar perlawanan.

“Tengoklah kalau sesuatu hantaran di laman sosial Kortrijk mengenai Luqman, banyak reply dan tag terhadapnya.

“Bayangkan dia nak tidur pun masih perlu layan benda-benda macam ni. Bagi penyokong mungkin perkara biasa, tetapi kita tidak tahu mungkin ada kesan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

“Lagipun, ini bukan program realiti yang orang perlu tengok kehidupan seharian Luqman. Dia ke sana untuk bermain sebagai seorang pemain profesional. Jadi, kelab kena kawal.

“Saya rasa setiap kelab ada polisi terutama membabitkan pemain muda iaitu mereka perlu hadkan tumpuan. Lagipun saya tengok, pemain lain yang baru masuk ke kelab itu tidak pun menjadi tumpuan sama seperti yang diberikan kepada Luqman.

“Saya tidak pasti sama ada tujuan berita Luqman di media sosial itu untuk menarik minat rakyat Malaysia, tetapi janganlah terlalu kerap kerana ada mudaratnya,” katanya.

Luqman menempa nama selaku pemain dari Malaysia yang pertama berjaya bermain bersama kelab utama di liga Eropah.

Dia mula menunjukkan impak apabila berjaya menjaringkan gol bersama pasukan bawah 21 tahun dan turut meledak gol dalam debut bersama skuad senior pada aksi persahabatan kelmarin.