Operasi di premis hiburan: 264 dikompaun

Antara 295 pengunjung pusat hiburan dalam empat serbuan berasingan di premis terbabit di sekitar bandar raya ini dari tengah malam tadi hingga pagi ini. - Foto IPK Johor
Antara 295 pengunjung pusat hiburan dalam empat serbuan berasingan di premis terbabit di sekitar bandar raya ini dari tengah malam tadi hingga pagi ini. - Foto IPK Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor memeriksa 295 pengunjung pusat hiburan dalam empat serbuan berasingan di premis terbabit di sekitar bandar raya ini dari tengah malam tadi hingga pagi ini.

Ketua JSJN Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, serbuan pertama pada jam 11 malam membabitkan 152 individu yang sedang berhibur diperiksa.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga pengunjung berusia antara 23 dan 36 tahun positif dadah.

"Pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang mengaku pengurus premis tersebut dan gagal mematuhi syarat lesen perniagaan kerana menjual minuman keras dan tidak mengamalkan penjarakan sosial," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, melalui operasi dari jam 12.30 tengah malam hingga 8.30 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor Bahru Selatan melakukan tiga serbuan di Johor Bahru Selatan, Ulu Tiram dan Kulai.

Menurutnya, seramai 143 pengunjung premis hiburan terbabit diperiksa dan mendapati 18 individu berusia antara 17 hingga 56 tahun positif dadah.

Beliau berkata, seramai 264 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala mereka yang positif dadah direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan katanya, turut dilakukan di bawah Seksyen Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis mengingatkan orang ramai agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar.